Usaha UiTM selari MSN

Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Mohd Azraai Kassim (tiga dari kanan) bersama pemenang anugerah olahragawan, Khairulnizam Mohd Afendy (dua dari kanan) serta pemenang olahragawati, Nurul Alyani Jamil (tiga dari kiri) pada Majlis Anugerah Sukan UiTM 2018 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. – Foto Faiz Anuar

SHAH ALAM: Kemenangan dan pencapaian cemerlang atlet Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam setiap kejohanan yang disertai membuktikan universiti awam (UA) selari dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam agenda pembangunan sukan negara.

Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Mohd Azraai Kassim, berkata statistik menunjukkan UiTM bekerja keras untuk mencapai kemenangan di dalam setiap kejohanan yang disertai.

“Universiti bukan ‘kubur’ atlet sebaliknya menjadi tempat menimba ilmu akademik dan bidang sukan selain berperanan meningkatkan prestasi dan pencapaian atlet kebangsaan.

“Ini terbukti melalui kajian dan penyelidikan saintifik sains dan teknologi sukan yang dibuat untuk meningkatkan prestasi atlet dan pasukan negara.

“Saya percaya program pembangunan yang disediakan untuk atlet UiTM bukan sekadar pembangunan fizikal semata-mata, bahkan untuk membentuk ‘Thinking Athlete’ agar mereka menjadi atlet yang bijak mengurus diri secara profesional sebelum, semasa dan juga selepas pertandingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Sukan UiTM 2018 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), di sini, malam tadi.

Mohd Azraai berkata, atlet bijak biasanya lebih tenang mengawal emosi dan cekap merancang strategi ketika menghadapi lawan dalam pertandingan.

“Atlet bijak tahu merancang gaya hidup sesuai dengan peranan sebagai pelajar dan atlet terutamanya apabila perlu menghadiri kelas, latihan sukan dan pertandingan.

“Pembahagian masa perlu dibuat dengan penuh berdisiplin supaya atlet pelajar ini boleh berjaya dalam kedua-dua lapangan akademik dan juga sukan,” katanya.

Mohd Azraai berkata, beliau juga percaya pensyarah UiTM lebih fleksibel dalam menangani situasi atlet pelajar kerana mereka individu istimewa yang mengorbankan masa dan jiwa mereka untuk sukan yang diceburi.

“Dengan jadual latihan dan pertandingan yang ketat, adalah mustahil atlet ini dapat memberikan komitmen sepenuhnya dalam akademik seperti pelajar sepenuh masa.

“Tanpa sistem pembelajaran fleksibel pastinya atlet ini akan menghadapi kesukaran dalam membahagikan masa kuliah dan komitmen sukan sama ada latihan mahupun pertandingan,” katanya.

Pada majlis sama, Mohd Azraai turut menyampaikan beberapa anugerah termasuk Anugerah Olahragawan dan Olahragawati 2018 yang masing-masing dinobatkan kepada Khairulnizam Mohd Afendy, 26 (Perahu Layar) dan Nurul Alyani Jamil, 26 (Bowling Padang).

Oleh: Ruwaida Md Zain
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/03/538154/usaha-uitm-selari-msn

0
0