UiTM Cawangan Perak Melangkah Satu Tapak Kehadapan Untuk Menghasilkan Produk Komersial Bersama Dengan Industri Gergasi Antarabangsa di Bandung, Indonesia

20 November 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak telah mengadakan lawatan kerjasama strategik ke Kriya Nusantara, sebuah syarikat pembuatan kraf gergasi di Bandung, Indonesia. Rombongan yang diketuai oleh Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (PJIMA), Prof. Madya Dr Muhamad Abdul Aziz Ab Gani, serta delegasi pensyarah dari Jabatan Alam Bina dan Teknologi iaitu Dr Azizul Azli Ahmad, Dr Muhammad Anas Othman, Ts Nazrul Helmy Jamaludin, Mohd Shahrizan Mohd Said, Ts Muhammad Naim Mahyuddin, serta pensyarah dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Prof. Madya Dr Mohd Imran Abd Razak dan Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Muh Sarip Abd Rahman.

Selain daripada Kriya Nusantara, UiTM Cawangan Perak juga telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan empat rakan strategik dan jaringan industri di Bandung iaitu John Martono Galeri, PT Kala, Bambuloka dan ARTC. Fokus perbincangan yang ditekankan adalah untuk merancang strategi bagi menghasilkan produk inovasi yang boleh menembusi pasaran Asia, selain daripada menjadikan UiTM sebagai “Hub” dalam melahirkan mahasiswa yang berfikiran inovatif dan memiliki kecenderungan keusahawanan yang tinggi serta menjadikan UiTM sebagai pelopor dalam mewujudkan platform penghasilan dan pengeluaran produk berkapasiti tinggi.