UiTM Pahang dan Universitas Muhammadiyah Purworejo (UMPWR): Satu Agenda Pemerkasaan Pengantarabangsaan Universiti

Pahang – Agenda pengantarabangsaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) merupakan salah satu daripada cabang indikasi pencapaian yang menjadi teras kepada perancangan strategik UiTM 2025 – Global Renowned University berdasarkan kepada fokus strategik kualiti akademik. Sehubungan itu, UiTM Cawangan Pahang telah menggerakkan pelbagai inisiatif untuk memastikan agenda ini berjaya dipacu dengan efisyen dan cemerlang. Berbekalkan kepada hubungan baik yang telah terjalin sebelum ini, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) dan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) telah menyahut cabaran ini dengan memulakan langkah meneruskan kolaborasi dengan Universitas Muhammadiyah Purworejo (UMPWR) Jogjakarta, Indonesia bagi aktiviti pengantarabangsaan tahun 2024.

Tarikh 4 – 7 Jun 2024 telah menyaksikan satu lagi aktiviti pengantarabangsaan yang dilaksanakan di UiTM Cawangan Pahang. UMPWR telah menyatakan hasrat untuk menziarahi Kampus Pahang bagi meneruskan beberapa agenda yang telah dipersetujui. Antaranya ialah mengadakan kolaborasi pengajaran, perbincangan mengenai penyelidikan bersama dan kutipan data bagi kajian yang sedang dijalankan.  Delegasi ini telah diketuai oleh Dr. Jeki Mediantari Wahyu Wibawanti bersama-sama dengan Ibu Isna Windanidan Ibu Meriam Enterina daripada Fakultas Pertanian dan Fakultas Ekonomi. Delagasi ini telah dibawa melawat kedua-dua kampus di Jengka dan Raub.

Sesi pertama delegasi ini dimulakan dengan pertemuan bersama pengurusan tertinggi Kampus Pahang di Jengka bagi membincangkan lebih lanjut mengenai hubungan dan kerjasama antara kedua-dua universiti. Timbalan Rektor (Penyelidikan & Jaringan Industri) merangkap yang Menjalankan Fungsi Rektor – Prof. Dr. Wan Mohd. Nazri Wan Abd. Rahman dan semua ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) UiTM Cawangan Pahang telah mengalu-alukan kehadiran mereka. Delegasi ini juga telah diterangkan mengenai keseluruhan sejarah UiTM dan perjalanan operasi universiti. Sesi berikutnya diteruskan dengan kolaborasi pengajaran bagi subjek MKT243 di bawah kelolaan Dr. Nor Hidayatun Abdul Razak. Program ini telah berlangsung selama dua (2) jam dengan memberi peluang kepada pelajar-pelajar mendapatkan peluang pengajaran bersama pensyarah UMPWR bagi topik Halal Management. Dalam masa yang sama, perbincangan mengenai perancangan penyelidikan akan datang juga telah dijalankan bagi mengenal pasti peluang yang boleh diambil oleh kedua-dua universiti untuk tahun mendatang.

Sesi lawatan ke ladang seliaan FPA dan Bengkel Perkayuan adalah sesi terakhir delegasi di Kampus Jengka. Mereka telah dibawa melawat ke Tapak Tanaman Golden Melon secara Fertigasi MyAgrosis FPA, tapak tanaman Nanas MD2 serta Tapak Nurseri Musang King Organik FPA. Lawatan ini turut diselia oleh pihak Unit Pengurusan Ladang (UPL) UiTM Cawangan Pahang. Seterusnya pihak delegasi turut dibawa melawat Bengkel Perkayuan, Pusat Pengajian Industri Perkayuan. Delegasi dibawa melawat hasil-hasil perabot yang dihasilkan oleh para pelajar Pusat Pengajian Industri Perkayuan selain turut serta dalam menghasilkan kertas melalui sisa-sisa kayu.

Usai lawatan ini, delegasi UMPWR terus dibawa ke Kampus Raub untuk sesi berikutnya pada hari ketiga mereka di sini. Sesi pertama di Kampus Raub dimulakan dengan pertemuan bersama Pengurusan Tertinggi Kampus Raub dan ahli FPP yang diketuai oleh Dr. Saharani Abd. Rashid (Penolong Rektor). Beberapa cadangan telah dinyatakan kepada pihak delegasi terutamanya daripada aspek penyelidikan dan penulisan bersama yang boleh diteruskan bersama ahli akademik daripada pelbagai fakulti. Kemudian, mereka telah dibawa melawat ke beberapa lokasi yang berkaitan dengan akademik seperti Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Smart Classroom, Makmal MAC dan sekitar bilik-bilik kuliah di Blok Sarjana. Sesi ini kemudiannya dilanjutkan dengan mengadakan sesi kedua kolaborasi pengajaran bagi subjek MGT340 dengan tajuk Safety at Workplace yang diuruskan oleh Puan Nor Khairunnisa Mat Yunus. Sesi ini bukan sehaja melibatkan hampir 280 orang pelajar di Kampus Raub secara fizikal tetapi juga dijalankan secara serentak (live) untuk 80 orang pelajar di Kampus Jengka.

Delegasi UMPWR ini juga telah dibawa ke tempat-tempat menarik di sekitar Raub, Jengka dan Kuala Lumpur. Ini adalah bertujuan untuk memastikan bahawa mereka akan dapat mengenali Malaysia dengan lebih dekat, di samping mempromosikan beberapa kawasan tumpuan pelancong di Malaysia dan pusat kepada aspek pelancongan negara.

Tempoh 4 hari 3 malam bersama UiTM Cawangan Pahang telah dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang diharapkan telah dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua universiti. Adalah diharapkan agar hubungan baik yang telah terjalin di antara UiTM dan UMPWR ini akan berkekalan dan dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang dengan mengadakan pelbagai aktiviti bersama.

Oleh:

Hasnizawati Hashim, Fazidah Rosli & Fazreena Mansor