SHAH ALAM, 3 OKTOBER 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melancarkan Certiport Authorized Testing Center (CATC) bagi meningkatkan kemahiran pensyarah dan pelajar dalam teknologi yang telah dibangunkan oleh Microsoft. Majlis ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg Prof. Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor.
Dalam usaha untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, UiTM berkolaborasi bersama Microsoft, Acestar dan SoftwareONE melancarkan Certiport Authorized Testing Centre (CATC) di Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media. Hasil kerjasama ini akan melengkapkan pelajar untuk memiliki pensijilan yang diikitiraf industri. Lebih menarik lagi, menerusi MoU UiTM dengan Microsoft , para pelajar berpeluang menduduki peperiksaan pensijilan dengan potongan yuran sebanyak 90%.
YBhg Prof. Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM berkata, beliau yakin bahawa inisiatif ini akan memberi UiTM peluang untuk kemajuan akademik yang lebih ketara, pembangunan pelajar yang lebih unggul, dan penerokaan penyelidikan. “Arus teknologi yang sentiasa berkembang, datang dengan cabaran yang perlu ditangani oleh semua pihak. Kolaborasi dengan rakan strategik seperti Microsoft, Acestar and SoftwareONE membolehkan peralihan teknologi dapat ditangani secara optimum di semua peringkat’.
Beliau turut menambah bahawa penubuhan CATC ini akan dapat melahirkan graduan yang mempunyai pensijilan diiktiraf oleh industri glbal, berinovasi dan berkemahiran tinggi dalam sektor pendigitalan, di mana ia membolehkan UiTM meluaskan rangkaian kerjasama globalnya bagi memastikan institusi awam itu akan menjadi Universiti Terkenal Global dalam bidang sains dan teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan menjelang 2025.
Majlis ini turut dihadiri oleh Tuan Sheikh Manzoor, General Manager (Public Sector Group) Microsoft Malaysia, Cik Natalie Sit, Ketua Pegawai Eksekutif Acestar Sdn Bhd, Ms Georgie Tham, Enterprise Account Manager SoftwareONE Sdn. Bhd dan Prof. Ts Dr Haryani Haron, Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media.