KEPALA BATAS, Pulau Pinang, 9 Mei 2014 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang dan Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia telah menganjurkan program komuniti bertajuk “Boost Your Smile With Geriatrics” di Pusat Jagaan Damai Permai, Bertam, Pulau Pinang.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang itu melibatkan seramai 35 orang pelajar UiTM, 2 orang pelajar Universitas Muhammadiyah Malang, Indonesia (UMM), dan 37 delegasi dari UNAIR, serta 4 orang pensyarah pengiring dan 6 orang klinikal program kejururawatan.
Pengasas pusat jagaan tersebut ialah Puan Rohaya Nanyan. Terdapat seramai 41 orang penghuni di pusat ini, iaitu 18 orang lelaki dan 23 orang perempuan.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk menyemai sifat kasih sayang terhadap warga emas serta menghargai mereka tanpa mengira masa di kalangan mahasiswa dan mahasiswi. Secara tidak langsung, program ini dapat membentuk mahasiswa dan mahasiswi menjadi individu yang berperikemanusiaan serta melahirkan generasi yang memiliki keperibadian diri yang mulia.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah senamrobik bersama warga tua, gotong-royong dan tanaman pokok-pokok di sekitar kawasan pusat jagaan, serta Potluck raya dan sambutan hari jadi bersama warga emas. Pada sesi petang pula, diadakan ceramah Pendidikan Kesihatan oleh wakil UNAIR dan UiTM.
Program ini merupakan salah satu agenda dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM Cawangan Pulau Pinang dan UNAIR untuk menggalakkan dan mengukuhkan hubungan dengan institusi luar negara dalam memperluas lagi hubungan internasional. Ia juga bertujuan untuk mendedahkan pelajar dengan pelbagai budaya, bahasa, dan aspek sosial serta memperluaskan pandangan mereka secara global.