Puncak Alam, 16 Oktober 2024 – Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Selangor telah berjaya menganjurkan Kursus Pengurusan Acara, Protokol dan Pengurusan Media Siri 2. Kursus ini merupakan kesinambungan dari Siri 1 tahun lepas yang mendapat respon positif dari peserta. Ia diadakan bertujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan serta aplikasi dalam pengurusan majlis yang lebih baik mengikut ketetapan dan garis panduan protokol yang ditetapkan oleh UiTM. Dengan pelaksanaan kursus ini, peserta dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam pengurusan acara dan protokol, selain pengurusan media.
Kursus yang berlangsung di Dewan Anggerik Sari, Kampus Puncak Alam ini telah disertai seramai 68 orang peserta dari Kampus Puncak Alam, Kampus Sungai Buloh, Kampus Puncak Perdana dan UiTM Shah Alam. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk belajar mengenai teori tetapi juga membolehkan mereka berkongsi pengalaman dalam bidang pengurusan acara secara praktikal. Kursus ini telah dikendalikan oleh Encik Akmal Adanan yang juga menjawat jawatan sebagai Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Alor Gajah, Melaka.
Unit Komunikasi Korporat percaya dengan penganjuran kursus ini, ia dapat memberi pendedahan dan pengetahuan asas dalam pengurusan acara, protokol majlis dan pengurusan media warga UiTM. Selain itu, kursus ini juga bertujuan untuk menyeragamkan semua pengurusan perkhidmatan hal ehwal korporat antara kampus di UiTM Cawangan Selangor. Diharapkan hasil daripada kursus ini warga UiTM akan dapat melaksanakan hal ehwal korporat dengan lebih lancar dan efisien di masa hadapan.