Ulasan daripada Mohd Sadek Mustaffa: Tandukan beri kesan jangka masa panjang

KERAP menanduk bola berisiko mengalami gegaran otak. – Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak di bawah usia 18 tahun yang kerap menanduk bola berisiko mengalami gegaran otak dan kesannya akan dapat dilihat pada jangka masa panjang.

Pensyarah Kanan Fakulti Sukan dan Rekreasi UiTM, Mohd Sadek Mustaffa berkata, ia berikutan keadaan fizikal dan kekuatan bahagian atas tubuh khususnya kepala dan tengkuk mereka belum lagi matang sepenuhnya sekali gus berpeluang mengalami kecederaan jangka masa panjang.

Justeru, Sadek menjelaskan kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah perlu ‘dihadkan’ daripada menanduk bola untuk satu tempoh lama sebagai langkah pencegahan yang dilihat bersesuaian.

“Dengan mengambil kira kekerasan bola, jaraknya, kekuatan dan juga kepantasan bola yang ditanduk serta berdasarkan perkembangan struktur tubuh badan, mereka sebenarnya tidak begitu bersedia untuk menerima impak sebegitu. Tandukan bola tidak membabitkan impak terus seperti hentakan pada objek keras namun kesannya tetap ada. Ia bukan kesan serta-merta namun akan dirasai selepas mereka berusia nanti.

“Kita tidak boleh mengubah bola sepak supaya tidak membenarkan tandukan namun jurulatih perlu mengambil maklum supaya mengehadkan tempoh latihan untuk menanduk bola memandangkan kemahiran menanduk tetap perlu dikuasai. Selain itu, jurulatih perlu juga mengambil sikap berhati-hati kerana perubahan semasa dan akan datang terhadap perubahan undang-undang yang melindungi kebajikan kanak-kanak.

“Pada masa sama, mungkin saintis boleh mencipta bola daripada bahan lebih ringan dan selamat untuk digunakan kanak-kanak sebelum mereka diberi bola sebenar apabila tiba masanya nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, risiko bahaya menanduk bola kembali diperkatakan apabila pakar kecederaan otak berkata, kanak-kanak di bawah usia 18 tahun tidak patut dibenarkan melakukannya.

Doktor Bennett Omalu, pakar pertama yang menemui bagaimana pemain bola sepak Amerika (American Football) mengalami penyakit otak “chronic traumatic encephalopathy” (CTE), memberitahu BBC yang beliau menyedari kenyataannya mungkin tidak dipersetujui ramai. Kanak-kanak di bawah usia 18 tahun tidak boleh menanduk bola dalam sukan bola sepak,” kata doktor 49 tahun dari Nigeria yang kini menjadi warga negara Amerika.

“Kanak-kanak bawah usia 12 hingga 14 perlu bermain bola sepak yang kurang sentuhan fizikal, yang sepatutnya diwujudkan untuk mereka. Kanak-kanak antara 12 dan 18 tahun boleh bermain tetapi tidak boleh menanduk bola.”

 

Oleh: Syafiq Aznan
Sumber: https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/08/460005/tandukan-beri-kesan-jangka-masa-panjang

0
0