KOTA KINABALU, 4 Julai 2024 – Hujan lebat dan ribut petir yang berterusan selama beberapa hari mengakibatkan penduduk sekitar daerah – daerah seperti Penampang, Putatan, Menggatal, dan daerah sekitar Kota Kinabalu terkesan.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Melihat kejadian yang berlaku, Pengurusan UiTM Cawangan Sabah – Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) UiTM Cawangan Sabah yang dipengerusikan oleh Rektor UiTM Cawangan Sabah iaitu Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Rozita Mohammed, mengambil inisiatif untuk melaksanakan Misi Bantuan Banjir ‘ Menghulur Tangan, Menggapai Harapan’ bersama Staf dan Pesara UiTM Cawangan Sabah. Misi Bantuan Banjir ini disertai lebih 30 sukarelawan yang terdiri dari Staf UiTM Cawangan Sabah telah menghantar sedikit sumbangan berupa makanan asas dan bahan pencuci rumah bagi membantu mangsa banjir (staf dan pesara) yang terkesan pada banjir kali ini.
Melalui misi ini, mangsa banjir menyatakan bahawa banjir pada kali ini adalah yang paling buruk dan banyak kerosakan yang terpaksa ditanggung. Staf dan pesara yang terlibat amat terharu dengan kunjungan Pengurusan UiTM Cawangan Sabah yang memberi sokongan dan keprihatinan bertanya khabar serta sumbangan yang membawa makna kepada penerima dan keluarga yang terlibat. Semoga usaha kecil ini diberkati dan misi bantuan banjir ini sedikit sebanyak memberi kelegaan dan membantu para staf dan pesara yang terkesan dengan bencana banjir ini. Selaras dengan sepotong hadis Nabi SAW yang bersabda:
مَن نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عليه في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ في عَوْنِ العَبْدِ ما كانَ العَبْدُ في عَوْنِ أَخِيهِ
Maksudnya: “Siapa yang membebaskan seseorang dari kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagimana hamba membantu saudaranya.” (Riwayat Muslim)