UiTMCPP gilap bakat kepimpinan pelajar vokasional melalui Program Pemantapan Kepimpinan Pelajar – Transformasi Minda

Seramai 88 orang pelajar kolej vokasional seluruh Pulau Pinang diberi pendedahan melalui Program Pemantapan Kepimpinan Pelajar – Minda 2024 anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan  Pusat Pendidikan dan LatihanTeknikal Aras Tinggi (HE-TVET) UiTM Cawangan Pulau Pinang sebagai usaha menggilap bakat kepimpinan dalam generasi muda.

Program yang berlangsung selama dua hari, Sabtu dan Ahad pada 20 dan 21 April, di Kampus UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP), Kampus Bertam turut mendapat kerjasama daripada Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV). Ini merupakan sebahagian daripada lanjutan Memorandum Persefahaman (MOU) yang telah ditandatangani pada tahun 2023 di antara UiTMCPP dan BPLTV. Program ini telah menghimpunkan pemimpin pelajar yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Badan Pengawas bagi meningkatkan kemahiran daya kepimpinan melalui pelbagai pengisian interaktif dan bermanfaat.

 

Program kepimpinan pelajar yang julung kali diadakan ini adalah platform perkongsian ilmu dan menimba pengalaman daripada fasillitator dan penceramah daripada UITMCPP kepada peserta. Rektor UiTMCPP, Profesor  Ir Dr Haji Ahmad Rashidy Razali dalam ucapannya menyatakan bahawa sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, UiTMCPP terpanggil menyumbang tenaga kepakaran untuk berkongsi pengetahuan serta pengalaman kepada generasi pelapis yang bakal mengemudi sesebuah organisasi mahupun pentadbiran negara pada masa akan datang. UiTMCPP amat prihatin dan sentiasa memberikan sokongan sepenuhnya terhadap sebarang usaha pembangunan generasi muda, terutama dalam kalangan pelajar. Ini telah mencetuskan idea di pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) untuk membina satu program modul kepimpinan yang kolektif bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan berkualiti. Melalui program ini, pelajar dapat mengikuti Modul Kepimpinan dan Transformasi Minda yang menguji kemahiran kepimpinan peserta melalui pelbagai aktiviti berkumpulan serta ceramah kepimpinan.

Harapan yang sangat tinggi agar inisiatif ini dapat memantapkan lagi kemahiran kepimpinan dan komunikasi para pelajar serta menyemai keyakinan mendepani cabaran masa hadapan dan menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.