UiTM – YOUTH GLOBAL OUTREACH 2023 KE KOREA SELATAN, BANTU UiTM KEARAH MENCAPAI UNIVERSITI TERKEMUKA DUNIA

Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Majlis Perwakilan Pelajar sesi UiTM Shah Alam 2021/2022 telah bekerjasama dalam menganjurkan Program UiTM – Youth Global Outreach 2023 untuk membantu mencapai matlamat UiTM sebagai Universiti terkemuka dunia.

Globally Renowned University 2025 (GRU2025) merupakan matlamat UiTM untuk menjadi salah sebuah Universiti terkemuka dunia melalui Pelan Strategik UiTM 2025 (UiTM 2025) iaitu memberikan tumpuan kepada perubahan, perkembangan, dan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

Menurut Pengarah Program, Harith Syahmi, program tersebut bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang lebih beridealisme dan proaktif melalui pemerhatian dan pengalaman yang diperoleh sepanjang 25 Jun sehingga 1 Julai 2023 di Pulau Jeju dan Seoul, Korea Selatan.

“Cetusan idea untuk pelaksanaan program ini selari dengan misi MPP sesi ini iaitu melahirkan kepimpinan berkualiti menjurus ke arah kesukarelawanan dan industri.

“Program ini menyediakan pelbagai aktiviti yang melibatkan aspek akademik dan kesukarelawanan, serta mampu mencapai 4 SDGs utama, iaitu SDG 4 – Pendidikan Berkualiti, SDG 8 – Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi, SDG 11 – Bandar dan Komuniti Mampan, dan SDG 17 – Rakan Masa Depan. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pertukaran budaya, kuliah awam dan kerjasama dengan komuniti tempatan yang memberikan impak besar bukan hanya kepada penganjur malah kepada komuniti dan juga universiti secara keseluruhan,” tambah beliau.

“Melalui program ini, kami dapat membandingkan budaya pembelajaran dan pengajaran antara UiTM dengan Jeju National University. Perbandingan ini memperkukuhkan rasa kecintaan kepada UiTM sendiri kerana kami mengambil teladan daripada rakyat Korea Selatan yang menonjolkan sifat bangga, patriotik, dan cinta akan budaya mereka,” kata Profesor Dr. Hj. Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), UiTM Shah Alam.

Beliau turut meluahkan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan dengan lebih banyak di masa hadapan selain dapat terus memberikan manfaat yang signifikan dan membentuk pelajar yang berwawasan serta bertanggungjawab dalam merealisasikan aspirasi untuk pembangunan lestari dan pencapaian SDGs.

“Salah satu kebimbangan kami adalah semakin menipisnya semangat cinta akan budaya dan warisan akibat pengaruh budaya luar yang tular dalam kalangan generasi muda. Melalui inisiatif seperti ini, UiTM semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti yang berwibawa secara global dan memberikan sumbangan kepada matlamat yang ditetapkan dalam Pelan Strategik UiTM 2025,” tambahnya lagi.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Muhammad Haikal Rosli,
haikal.mppuitmsa@gmail.com / 016-789 4446