KELANTAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) unggul di Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2022 dengan mnerangkul 10 pingat emas yang berlangsung pada 2 hingga 3 November 2022 bertempat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Bachok, Kelantan.
PECIPTA 2022 merupakan pertandingan inovasi yang penganjurannya masuk kali ke-11 dan UMK adalah sebagai tuan rumah pada tahun ini. Mod penyertaan dijalankan secara hibrid merangkumi penjurian dalam talian dan seterusnya inovasi yang disenarai pendek dipilih untuk bersaing secara fizikal di UMK, Kampus Bachok. PECIPTA 2022 menerima lebih 433 penyertaan pada kali ini yang terdiri dari pelbagai sektor korporat, sekolah, IPTA dan swasta. Lebih 80% inovasi yang dipertandingkan di PECIPTA 2022 kali ni telah bersedia untuk dikomersilkan kepada pihak industri.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), YBhg. Professor Norazah Abd Rahman, berkata, UiTM amat berbangga dengan pencapaian ini dan ia merupakan simbolik kepada inovasi berkualiti yang dihasilkan oleh penyelidik UiTM.
“UiTM sentiasa merangka inisiatif dan berusaha agar hasil penyelidikan yang diperolehi dapat ditengahkan untuk dikomersilkan bersama pemain industri. Ini bagi memastikan inovasi terhasil akan memberi manfaat dan kebaikan kepada masyarakat” kata beliau.
UiTM telah menghantar 13 penyertaan dan sebanyak 7 inovasi dijemput untuk pertandingan secara fizikal di UMK. Produk inovasi, Ezysunnah Augmented Reality Game yang diketuai oleh Prof. Madya Dr Muhamad Abdul Aziz Ab Ghani dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Perak merupakan salah satu penerima pingat emas sekaligus menerima Anugerah Terbaik Kluster bagi kluster kebudayaan, kesenian & pelancongan.
Ezysunnah Augmented Reality Game merupakan permainan boardgame islamik yang mendidik kanak-kanak mempelajari doa-doa harian, asas fardhu ain dan sunnah nabi. Konsep bermain sambil belajar telah diserapkan dalam permainan ini bagi membantu meningkatkan kemahiran membaca dan menghafal oleh kanak-kanak. Lebih 1000-unit telah berjaya terjual dan ianya boleh didapati secara atas talian melalui Facebook dan Instagram Ezysunnah.
Selain itu, antara kumpulan pemenang yang tersenarai sebagai penerima pingat emas adalah kumpulan yang diketuai oleh pensyarah Fakulti Perubatan, Prof. Madya Dr Muhammad ‘Abid Amir dengan tajuk inovasi SternaZip: Conceptualization of An Innovative Surgical Device for Delayed Sternal Closure Utilizing Nano-Silver Technology, Prof. Madya Ir Ts. Dr Mohamad Hafiz Mamat dari Kolej Pengajian Kejuruteraan, tajuk inovasi UPHS21: Ultra-Highly Sensitive Humidity Sensor Based on A Novel Nanoporous Nickel Oxide Nanosheet-Anchored 1D Zinc Oxide Nanocomposite Heterostructure Film, Dr Ahmad Faiza dari Fakulti Sains Gunaan, dengan tajuk inovasi Modernization of the Injection Dyes Technology on the Traditional Natural Fibres Batik Printing Quality, pensyarah dari Fakulti Perakaunan Prof. Madya Dr Nadiah Abd Hamid dengan tajuk STOMS (Stock Management System).
Pemenang lain termasuk Dr Nur Syuhada Jasni, Fakulti Perakaunan melalui inovasi Strategic Sustainability Radar 4.0, Dr Khuriah Abdul Hamid, Fakulti Farmasi, AERO-G: Patch & Heal, Dr Hassanain Al-Talib, Fakulti Perubatan. A Multiplex PCR Rapid Detection Kit for Hemorrhagic Bacteria from Stool Samples, Ts. Dr Mohd Firdaus Malek, Fakulti Sains Gunaan, Rapid Amelioration of Hybrid Solar Cells Performance by Self-Organized Manoeuvring of Zao Nanowires Via Microwave-Assisted Sol-Gel Approach serta Dr Prasanna Ramakrisnan dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik & Media dengan tajuk inovasi Online Assessment Proctoring and Monitoring.
Manakala Prof. Dr. Anis Safura Ramli, Fakulti Perubatan, Encik Khairul Nizan Mohd Aris, Kolej Pengajian Seni Kreatif dan Prof. Madya Ts. Dr Nor Suhaila Mohamad Hanapi, Fakulti Sains Gunaan masing-masing telah membawa pingat perak.
PECIPTA 2022 yang bertemakan ‘Innovation, Creativity, Technology, Entrepreneurship and Society’ merupakan acara dwitahunan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bertujuan untuk mengumpulkan barisan penyelidik dari pelbagai kategori penyertaan.
Penyertaan inovasi di PECIPTA 2022 bertujuan meraikan inovasi hasil penyelidikan negara dari pelbagai kluster pengajian. Ia menghimpunkan barisan pemain industri dan penyelidik untuk memperkasa jaringan bersama pihak industri dan mempamerkan hasil penyelidikan negara seiring dengan aspirasi Malaysia untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing di peringkat global.