UiTM tingkat kesedaran keselamatan pekerja

PARA pelajar sedang mengumpulkan data daripada 800 premis pekerjaan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja atau lebih sinonim dengan World OSH Day disambut pada 28 April setiap tahun di negara ini.

Ia bertujuan bagi memperingati mangsa-mangsa yang terlibat dengan kemalangan dan mempromosikan langkah-langkah keselamatan di tempat kerja.

Bagi tahun 2018, tema Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2018 adalah Generasi Selamat dan Sihat.

Tema ini memberi tumpuan untuk meningkatkan keselamatan dan kesihatan kepada pekerja-pekerja muda atau belia yang memasuki alam pekerjaan.

Kempen Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2018 menyoroti kepentingan kritikal untuk menangani cabaran itu dan meningkatkan keselamatan serta kesihatan pekerja-pekerja muda dengan memberi pendedahan kepada risiko pekerjaan.

PROGRAM ini berjaya memecahkan rekod dengan penyertaan seramai 50,000 pekerja dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Kesedaran

Justeru, Boiler and Safety Engineering Club (Bosec) dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam telah mengambil inisiatif menganjurkan Mega OSH Tool Box 2018.

Program itu mengumpulkan kira-kira 50,000 pekerja secara atas talian dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Ia adalah daripada sebahagian usaha untuk meningkatkan kesedaran pekerja mengenai aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan.

Lebih membanggakan, usaha itu mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

Program itu turut melibatkan kira-kira 300 orang pelajar yang diberikan taklimat keselamatan mengenai industri kejuruteraan.

Pelajar tahun satu, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM, Muhammad Razlan Ghazali berkata, kesedaran terhadap keselamatan perlu dipupuk agar golongan muda terbiasa dengan peraturan dan amalan keselamatan semasa berada di tempat kerja.

“Majikan perlu memberikan komitmen yang lebih baik dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja kerana statistik menunjukkan pekerja muda adalah kelompok yang paling terjejas.

“Hal ini termasuk melatih dan memberi pengetahuan yang secukupnya kepada pekerja yang baru memasuki alam pekerjaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kompleks Kejuruteraan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, UiTM Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Jesmie Nur Asyikin Ab. Aziz, 22, berkata, pendidikan dan latihan keselamatan terhadap pekerja sangat penting dalam memastikan pihak majikan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Penuntut tahun satu, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal itu berkata, setiap pekerja perlu memainkan peranan dalam menguatkuasakan SOP yang ditetapkan termasuk menegur majikan sekiranya ia tidak dilaksanakan.

Bagaimanapun, Jesmie Nur Asyikin berkata, ia agak mustahil untuk dilakukan sekiranya para pekerja tiada ilmu pengetahuan mengenainya dan masing-masing mementingkan diri.

PENGARAH Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Selangor Mohd. Anuar Embi (empat dari kiri) merasmikan Mega OSH Tool Box 2018 yang berlangsung baru-baru ini.

Pelaburan

Seorang pelajar, Muhammad Nafie Nor Asmadi, 22, berkata, pihak majikan perlu melihat daripada sudut yang positif di mana pembangunan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja adalah satu pelaburan penting.

“Golongan muda mempunyai tanggungjawab penting dalam menjana pembangunan negara. Justeru, jurang dan keperluan berkaitan dengan pekerja muda harus dinilai kembali.

“Majikan perlu melihat setiap pembangunan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan sebagai pelaburan yang mampu memberi kesan jangka panjang,” katanya.

PARA pelajar dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak merakamkan gambar kenangan selepas menyertai Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2018 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Prof. Ir. Dr. Muhammad Azmi Ayub berkata, tema tahun ini memberi satu gambaran yang jelas betapa pentingnya penekanan terhadap isu-isu keselamatan di tempat kerja dalam kalangan para graduan baharu.

“Penyertaan mahasiswa dalam program seperti ini amat signifikan kerana proses pembelajaran melibatkan realiti pekerjaan sebenar dapat dipelajari dan dipraktikkan sedari awal bermula di dalam kelas.

“UiTM selaku tuan rumah ataupun command center pada penganjuran kali ini tidak terkecuali daripada mempraktikkan gerak kerja dan prosedur yang diamalkan di premis-premis pekerjaan yang lain,” katanya.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/k2/varia/uitm-tingkat-kesedaran-keselamatan-pekerja-1.676260

0
0