UiTM terus pacu usahasama di peringkat global

Para peserta yang menyertai persidangan antarabangsa universiti di Bangkok, Thailand.

BANGKOK 24 April – Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur menjalinkan kerjasama dengan Universiti Chulalongkorn.

Majlis menandatangan kerjasama itu diadakan sempena International Conference on Research Methodology in Built Environment and Engineering (ICRMBEE2019) berlangsung di sini selama dua hari mulai hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Profesor Madya Thumnoon Nhujak, Dekan Pengajian Siswazah, Universiti Chulalongkorn selaku tuan rumah.

Prof. Dr. Jamalunlaili Abdullah

Dekan FSPU Prof. Dr. Jamalunlaili Abdullah dalam ucapannya pula berharap agar acara persidangan sedemikian menjadi asas bagi jaringan hubungan yang sihat dan kerjasama dari pelbagai pihak dengan institusi pengajian tinggi, badan-badan kerajaan, institusi-institusi swasta dan yang lain-lain.

“Moga inisiatif konferensi seumpama ini juga dapat membuka lebih banyak lagi ruang dan peluang usahasama dengan universiti-universiti lain di peringkat antarabangsa pada masa-masa akan datang seiring dengan visi dan misi memperkenalkan UiTM di mata dunia,” katanya.

Sebanyak 107 hasil kajian dari pelbagai bidang berkaitan alam bina seperti perumahan, pembangunan hartanah, perancangan dan perbandaran dengan peluang terbitan dalam jurnal berimpak tinggi (Scopus indexed).

Para peserta lain yang turut mengambil bahagian universiti dari Singapura, Indonesia, China, United Arab Emirates (UAE), Rusia dan Afrika Selatan.

Antara peserta ialah dari National University of Singapore, Institut Teknologi Bandung, Universiti Bung Hatta, University of Central South China, University of Lagos dan juga dari Indonesia Water Institute. – UTUSAN ONLINE

Oleh : Hafiszah Ismail
Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/uitm-terus-pacu-usahasama-di-peringkat-global-1.888439

0
0