SHAH ALAM, 21 November 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat pencapaian membanggakan apabila tersenarai pada kedudukan ke-136 dalam edisi pertama Times Higher Education (THE) Interdisciplinary Science Rankings (ISR) 2025. Pencapaian ini telah memperkukuh reputasi UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang komited terhadap integrasi pengetahuan pelbagai bidang, sekali gus membuktikan asas yang kukuh bagi memupuk penyelidikan serta kolaborasi dalam bidang sains antara disiplin. Penarafan yang dilancarkan dengan kerjasama Schmidt Science Fellows ini memberi pengiktirafan atas sumbangan universiti dalam memacu penyelidikan sains antara disiplin.
ISR 2025 menumpukan kepada disiplin sains utama seperti sains komputer, kejuruteraan, sains hayat, dan sains fizikal. Penarafan yang melibatkan 749 buah universiti dari 92 buah negara ini mencerminkan kepentingan pendekatan yang merangkumi kerjasama antara pelbagai disiplin ilmu untuk menangani cabaran global.
Menurut THE, metodologi ISR disusun berdasarkan tiga tonggak utama: input, proses, dan output, yang mana masing-masing merangkumi 11 metrik penilaian. Data untuk penarafan ini dikumpulkan terus daripada universiti, yang terdiri daripada data kuantitatif serta bukti sokongan dan disahkan oleh THE. Analisis bibliometrik data daripada Elsevier turut digunakan, yang merangkumi lebih daripada 157 juta sitasi kepada 18 juta penerbitan.
Pencapaian UiTM ini menggambarkan budaya kerjasama yang kukuh dan baik dalam kalangan komuniti akademik mahupun rakan industri, bagi mewujudkan persekitaran yang dapat menyokong perkembangan penyelidikan antara disiplin. Semangat kerjasama ini penting untuk memacu kemajuan sains dan teknologi. UiTM terus unggul dalam menyepadukan pelbagai disiplin ilmu untuk menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, seterusnya memperkukuh kedudukan sebagai peneraju akademik dan penyelidikan di Malaysia.
Department of Ranking (DoR), UiTM Global