SHAH ALAM , 26 OKTOBER 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM), Malaysia, sekali lagi mencatatkan kejayaan dalam memperjuangkan agenda kelestarian dan pembangunan mampan apabila tersenarai dalam edisi pertama QS World University Rankings: Sustainability Penarafan ini mengukur komitmen sesebuah institusi ke arah agenda kelestarian dan pembangunan mampan. Dalam edisi pertama penarafan ini, institusi dinilai melalui dua indikator utama iaitu Social Impact dan Environmental Impact, yang mana gabungan kedua-dua indikator ini menyumbang kepada kedudukan keseluruhan penarafan. Untuk edisi pertama penarafan ini, UiTM telah mencatatkan pencapaian yang agak membanggakan dengan kedudukan di tangga 361-380 daripada 700 universiti di dunia yang tersenarai dan berada pada kedudukan ke-4 dalam kalangan 9 universiti tempatan yang tersenarai.
Prestasi terbaik UiTM adalah dalam kategori Environmental Impact dengan kedudukan di tangga ke-330 di dunia dengan pencapaian tertinggi untuk lensa Sustainable Institution pada kedudukan ke-161 di dunia. Lensa ini mengukur antaranya, operasi dan komitmen institusi terhadap kemampanan, dasar sedia ada mengenai kemampanan, kesan alumni terhadap alam sekitar, keahlian dalam organisasi dan kumpulan yang menumpukan kepada pembangunan mampan, komuniti pelajar yang berkaitan dengan alam sekitar dan pembangunan lestari, serta rekod dan pelaporan tenaga, pelepasan dan penggunaan air universiti.
Bagi indikator Social Impact pula, UiTM berada pada kedudukan ke-414 di dunia dan pencapaian tertinggi di bawah indikator ini adalah untuk lensa Employment and Opportunities pada kedudukan ke-294 di peringkat global. Lensa ini menilai antaranya reputasi majikan, penyelidikan yang sejajar dengan SDG, kadar kebolehpasaran graduan, dan tahap kesediaan graduan untuk menceburi bidang pekerjaan selepas tamat pengajian.
Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM, berkata, “Apabila kami memperkenalkan Pelan Strategik UiTM 2025 untuk menjadi sebuah Globally Renowned University, salah satu penanda aras yang kami tetapkan adalah untuk mencapai status Globally Marketable menjelang 2023. Hal ini menunjukkan UiTM berada pada landasan yang tepat dalam mencapai tanda aras kesan alam sekitar dan sosial mengikut piawaian kemampanan QS.”
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada institusi lain di Malaysia yang tersenarai dalam edisi pertama QS World University Rankings on Sustainability 2023. Saya juga ingin menyatakan penghargaan kepada kakitangan, pelajar, alumni dan rakan usaha sama UiTM. Sebagai sebuah universiti yang komprehensif, kita sentiasa mencari peluang yang melangkaui pendidikan dan pembelajaran untuk memberikan impak yang lebih besar kepada dunia secara amnya.”