UiTM Terima Reader’s Digest Trusted Brand Gold Award Kali Ke-12

KUALA LUMPUR, 16 JUN 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah dipilih sebagai penerima Reader’s Digest Trusted Brand Gold Award 2022bagi kategori Universiti Awam di majlis khas Ulang Tahun ke-100 Reader’s Digest dan 24th Trusted Brand Award di Hotel Grand Hyatt.

UiTM menerima anugerah ini untuk kali ke-12 sejak tahun 2011 yang mengiktiraf kualiti dan kecemerlangan sesebuah institusi serta organisasi termasuk warganya oleh pelbagai pihak di dalam negara hingga ke peringkat antarabangsa.

Trusted Brand Award oleh Reader’s Digest yang telah dilaksanakan selama 24 tahun ini meneliti jenama-jenama yang dipercayai oleh pengguna melalui syarikat penyelidikan pasaran terkemuka – Catalyst Research, dengan meninjau 8,000 individu di lima wilayah utama Singapura, Hong Kong, Taiwan, Malaysia dan Filipina. Enam (6) kriteria penilaian dilihat iaitu Kebolehpercayaan dan Kredibiliti (Trustworthiness and Credibility); Kualiti (Quality); Nilai (Value); Memahami Keperluan Pelanggan (Understanding of Customer Needs); Inovasi (Innovation); serta Tanggungjawab Sosial (Social Responsibility) untuk menentukan jenama yang paling dipercayai oleh pengguna.

“Organisasi yang telah menerima anugerah Reader’s Digest Trusted Brand adalah satu pengiktirafan yang membolehkan mereka menggunakan logo khas ‘trustmark’ dan logo ini membolehkan pengguna mengenali kualiti, nilai dan kebolehpercayaan organisasi tersebut”, kata Louise Waterson selaku Ketua Editor Reader’s Digest. “Kepercayaan adalah faktor penting yang menentukan kejayaan atau kegagalan jenama”, tambahnya lagi.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor amat gembira dan berbangga dengan anugerah yang diterima oleh UiTM. “Ini merupakan kali ke-12 UiTM mendapat pengiktirafan Trusted Brand dari Reader’s Digest, dan membuktikan bahawa kita adalah sebuah universiti yang dipercayai orang ramai.” Tambahnya lagi, anugerah ini hasil pencapaian dan kejayaan UiTM termasuklah baru-baru ini meraih kemenangan di Anugerah Global Good Governance ke-7 apabila menerima Anugerah Kejuaraan SDGs 3G 2022 selain menyerlah di pentas global berdasarkan keputusan penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2023 yang baru diumumkan. Prestasi persentil UiTM yang melonjak sebanyak 4% telah menempatkan universiti dalam kalangan 46% institusi tertinggi daripada 1,422 universiti lain.”

Beliau juga yakin dengan pengiktirafan Reader’s Digest ini juga menunjukkan bahawa UiTM berada di landasan yang tepat dan relevan untuk mencapai matlamatnya menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang disegani dan dikenali di persada global ke arah mencapai visi Globally Renowned University pada tahun 2025 (GRU2025).