UiTM Terima Peruntukan Hampir RM1 juta Melalui Program MIH

SHAH ALAM, 14 Jun — Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima peruntukan hampir RM1 Juta daripada beberapa buah syarikat swasta bagi pengkomesilan melalui program Hub Industri Mikro (MIH)  yang dilancarkan pada Khamis lepas.

Naib Chanselor UiTM, Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata peruntukan berkenaan diterima daripada syarikat ACM EV Systems Sdn. Bhd, DNEX RFID Sdn. Bhd, Daya Secadyme Sdn. Bhd. dan Amtel Cellular Sdn. Bhd yang bekerjasama dengan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Fakulti Kejuruteraan Kimia universiti berkenaan menerusi program MIH.

“MIH adalah jalinan perkongsian pintar yang bertujuan bagi menarik lebih banyak syarikat untuk aktif berada di dalam UiTM bagi tujuan aktiviti penyelidikan dan pengkomersilan produk baharu bagi tempoh sehingga lima tahun.

“Kerjasama ini berdasarkan kepada situasi menang-menang untuk UiTM dan industri ke arah pembangunan sumber manusia, pembangunan produk tempatan, penerbitan, kebolehpasaran pekerjaan graduan dan pengkomersilan produk dan perkhidmatan. Program MIH ini menggunakan strategi kekuatan yang ada pada kedua-dua pihak iaitu sumber manusia, pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan jaringan kerja sebagai persediaan untuk tahap kesediaan teknologi dan pasaran baharu.

“Program MIH menumpukan kepada idea, prototaip dan ujian pengesahan produk baharu yang di dalam kampus UiTM, manakala rakan industri pula akan menumpukan kepada pengeluaran komersil dan pemasaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Azraai berkata, menerusi perkongsian itu, ketiga-tiga fakulti berkenaan menerima peruntukan asas kewangan tahunan daripada syarikat yang mengambil bahagian bagi membangunkan produk antaranya berkaitan sistem pengenalpastian frekuensi radio (RFID), pengkomersilan produk yang berkaitan dengan kakisan saluran paip di dalam industri minyak dan gas.

“UiTM turut menerima peruntukan untuk pembangunan produk komersil baharu yang berkaitan telematik, elektronik dan telekomunikasi, secara keseluruhannya, jumlah peruntukan asas kewangan yang diterima daripada syarikat-syarikat ini di bawah program MIH adalah berjumlah RM979,000,” katanya.     

Tambah Mohd Azraai, UiTM amaat berterima kasih terhadap syarikat-syarikat berkenaan yang sudi berkerjasama ini dan berharap perkongsian pintar berkenaan akan memberi faedah kepada UiTM dan syarikat selain bakal menghasilkan teknologi-teknologi terkini yang dapat diperkenalkan di peringkat tempatan dan antarabangsa

Sumber Bernama :
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1851212&fbclid=IwAR08MDZAGv-_v-9s00YpfqsdTT8tAts7uWLd-LE4ZYuG0WIbb2bBE5kZ3A0