UiTM tekad sedia pelajar dengan pengalaman dalam pelbagai bidang

Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim

SHAH ALAM, 5 Okt — Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertekad untuk terus menyediakan pelajarnya dengan peluang menimba pengalaman dan mengasah bakat dalam pelbagai bidang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Naib Canselor UiTM Prof. Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim berkata dengan pendekatan itu, pihaknya yakin universiti tersebut mampu melahirkan graduan yang berdaya saing dan profesional.

“Kita boleh berbangga dengan pencapaian UiTM dari semasa ke semasa. Malahan sejak kebelakangan ini, UiTM bukan sahaja terkenal dengan penawaran program profesional, bahkan pencapaian universiti merangkumi pelbagai bidang di pelbagai peringkat.

Ini terbukti dengan pencapaian dan kejayaan pasukan UiTM Chamber Choir dan UiTM Women’s Chorale yang memenangi tiga pingat emas di pertandingan dan festival koir di Poland dan Jerman baru-baru ini,” katanya ketika berucap pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM kali Ke-91, di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) di kampus induk UiTM di sini, hari.

Mohd Azraai berkata selain itu kebolehpasaran graduan UiTM juga amat membanggakan apabila mampu menepati keperluan pasaran kerjaya di negara ini.

“Dari segi kebolehpasaran graduan pula, data terkini menunjukkan pencapaian kebolehpasaran graduan UiTM adalah 99 peratus yang mana telah mencapai sasaran yang ditetapkan. Dan daripada jumlah itu empat peratus graduan UiTM terdiri daripada usahawan yang berjaya dalam perniagaan masing-masing,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Canselor UiTM

Sementara itu, pada istiadat hari ini, Anugerah Kedoktoran Cemerlang Tuanku Canselor dianugerahkan kepada Dr Ahmad Syakirin Ismail yang merupakan graduan Fakulti Kejuruteraan Elektrik manakala Amir Fariz Ishak yang merupakan graduan Fakulti Pergigian, pula menerima Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor.

Kedua-dua anugerah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Canselor UiTM kepada kedua-dua orang penerima. Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Bagi Ahmad Syakirin, masalah kewangan dan kegagalan mendapatkan hasil eksperimen terbaik dalam kajiannya, merupakan cabaran terbesar yang perlu dihadapi sepanjang pengajiannya.

“Sesungguhnya perjalanan sebagai seorang pelajar bukanlah sesuatu yang mudah. Namun berkat doa ibu bapa dan tenaga pengajar saya dapat meneruskan pengajian untuk memenuhi cita-cita saya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Amir Fariz pula menyifatkan beliau sangat berbangga menjadi sebahagian daripada graduan UiTM dan berhasrat untuk menabur bakti kepada masyarakat, bangsa dan negara sehingga akhir hayatnya.

— BERNAMA

Sumber:
http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1775283&fbclid=IwAR3fJ99zQW4sbBY44jUnR8ENII2cs-v30WgbC_-dkwX796h5Wfp03YDgVZc

0
0