SHAH ALAM, 21 JUN 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melaksanakan inisiatif hijau dengan menanam 250 batang pokok sempena Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok. Program ini adalah sebahagian daripada agenda nasional di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, selari dengan Polisi Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030, melalui Matlamat 1 di bawah Sasaran 2, yang mana penglibatan akademia haruslah dilihat sebagai komitmen berterusan dalam memastikan sumber kepelbagaian biologi negara terjamin.
Program ini dijalankan di UiTM Shah Alam sebagai usaha untuk menyumbang kepada kelestarian persekitaran kampus dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kawasan litupan hijau dalam kalangan kakitangan dan mahasiswa. Bidang Pengurusan Taman dan Ameniti (BPTA), Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) dengan kerjasama rakan-rakan industri telah memainkan peranan penting untuk menjayakan program ini. Kerjasama ini antaranya melibatkan MNRB Holdings Berhad yang berkolaborasi dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Pejabat Jaringan Industri, Komuniti & Alumni (ICAN) UiTM, serta Pejabat Pengurusan Infostruktur & Infrastruktur (PPII) UiTM. Program ini turut disertai oleh sukarelawan MNRB Holdings Berhad yang merupakan alumni UiTM, pensyarah serta pelajar dari Bidang Pengurusan Taman dan Ameniti (BPTA).
Bersempena dengan sambutan 25 tahun UiTM sebagai sebuah universiti, sebanyak 250 batang pokok telah ditanam di ruang bersebelahan Hotel UiTM, Shah Alam. Antara spesies pokok yang ditanam termasuk Merawan Kanching (Hopea subalata), spesies endemik Malaysia yang diklasifikasikan sebagai spesies terancam dalam senarai merah IUCN.
Program yang dirasmikan oleh Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Komuniti, & Alumni (ICAN) UiTM diharap dapat mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memastikan kelestarian alam dan mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan kawasan litupan hijau. Di samping itu, program ini juga dilihat mampu memperkukuhkan hubungan antara universiti, komuniti, dan industri.