UiTM tabur budi

AHMAD NAQIYUDDIN BAKAR (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan buku kepada penghuni PKAYIS di Kampus UiTM Segamat, Jementah, Johor, kelmarin.

SEGAMAT 22 Mei – Warga Universiti Tek­nologi MARA (UiTM) Kam­pus Segamat sentiasa bersedia memberi khidmat kepada masyarakat setempat termasuk berbakti untuk Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Daerah Segamat (PKAYIS).

Rektornya, Profesor Madya Dr. Ahmad Naqiyuddin Bakar melahirkan rasa bangga atas kepekaan dan komitmen ditunjukkan pensyarah serta mahasiswa UiTM dalam memberikan sumbangan berterusan kepada anak yatim iaitu anggota masyarakat yang memerlukan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Motivasi Kecemerlangan Akademik, majlis penyerahan kompu­ter dan buku serta majlis penutup program Tuisyen NR X-Cellent di PKAYIS, di sini semalam.

Yang turut hadir Yang Dipertua PKAYIS, Taher Masri; Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni UiTM Kampus Segamat, Profesor Madya Dr. Saunah Zainon.

Menurutnya, para pensyarah UiTM Kampus Segamat juga me­ngadakan kelas-kelas tambahan dan program-program motivasi kepada anak-anak yatim di PKAYIS sejak 2013 lagi.

Katanya, bermula tahun ini, sekumpulan mahasiswa dan mahasiswi yang dilahirkan melalui program NR X-Cellent akan mengadakan kelas tuisyen untuk anak-anak yatim tersebut melibatkan mata pelajaran bahasa Inggeris dan Matematik.

“Kita perlu membentuk matlamat sendiri kerana ianya menjadi hala tuju yang akan digunakan bagi mencapai matlamat, menjadi panduan bagi membuat pelbagai rancangan dan menjadi pendorong bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

“Program ini juga menyaksikan simbolik penyerahan lima buah komputer dari UiTM Cawa­ngan Johor Kampus Segamat dan penyerahan buku-buku rujukan serta latihan dari mahasiswa kepada semua penghuni rumah anak yatim ini,” katanya.

Oleh: Mohamed Saari
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/uitm-tabur-budi-1.677813#ixzz5GHdD9dEM
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0