12 Oktober 2024 – Program Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) berjaya dilaksanakan di Tasik Chempaka, Bandar Baru Bangi, berhampiran McDonald’s. Program ini, yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Persatuan Sahabat Sungai Malaysia, bertujuan untuk memupuk kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar serta menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah yang menyatukan rohani dan jasmani.
Kehadiran YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, telah menyerikan lagi program ini. Beliau mengetuai inisiatif KUDAH bersama pelajar dari universiti terkemuka seperti UiTM, UKM, UPM, USIM, dan UPNM.
Pihak UiTM turut berbangga dengan penyertaan aktif pelajarnya, yang diketuai oleh saudara Herbert Riddley Anak John, wakil JPK UiTM Shah Alam. Penglibatan ini disokong kuat oleh Pusat Kokurikulum UiTM yang memainkan peranan penting dalam menyelaras peralatan dan keperluan pelajar sepanjang program berlangsung. Pengarah Pusat Kokurikulum, Datuk Dr. Hasrol Jono, menekankan bahawa pemilihan pelajar untuk menyertai program ini dilakukan dengan teliti, memastikan penyertaan yang berkualiti dan signifikan.
Kerjasama erat antara Pusat Kokurikulum dan Majlis Pengetua UiTM, yang dipimpin oleh Ts. Dr. Noradzhar Baba, juga memastikan kelancaran perjalanan program. Dukungan penuh dalam aspek logistik dan penyelarasan membuktikan komitmen UiTM terhadap program kebajikan dan usaha pemeliharaan alam sekitar.
Selain itu, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) turut berperanan besar dalam menyediakan pengangkutan untuk para pelajar UiTM yang terlibat. Walaupun persiapan dilakukan dalam masa yang singkat, keprihatinan dan usaha gigih Pejabat TNC HEP amat dihargai oleh semua pihak.
Program KUDAH bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar, malah berjaya memupuk semangat kerjasama dan gaya hidup aktif dalam kalangan mahasiswa. Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, pelajar UiTM yang terlibat berpeluang menimba pengalaman berharga dalam memberi khidmat komuniti, selaras dengan nilai-nilai jati diri yang diterapkan oleh UiTM.
Beliau turut menegaskan bahawa DNA UiTM sentiasa mengutamakan kepentingan agama, bangsa, dan negara. Program KUDAH adalah contoh terbaik bagaimana pelajar UiTM bukan sahaja mencapai kecemerlangan akademik, tetapi juga berperanan penting dalam menyumbang kepada masyarakat. Inisiatif ini mengukuhkan lagi visi UiTM dalam melahirkan mahasiswa yang menyeluruh, berwawasan, dan berintegriti.
Penulis Utama: Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Profesor Dr. Sazili Shahibi
Penulis Bersama: Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman, Dr. Alwi Mohd Yunus, Dr. Basharudin Abdul Hadi, Dr. Noradzhar Baba