Puncak Alam, 10 Februari 2025 – Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Selangor telah berjaya menganjurkan sesi Taklimat Pemerkasaan dan Prosedur Perkhidmatan yang bertujuan untuk memperjelas perkhidmatan yang disediakan, proses permohonan, serta pengurusan imej dan identiti korporat dengan lebih efektif. Taklimat ini juga berfungsi sebagai platform untuk menggalakkan komunikasi dua hala antara Pusat Tanggungjawab (PTJ) di kampus-kampus UiTM.
Taklimat yang dihadiri oleh 30 wakil PTJ dari Kampus Puncak Alam, Kampus Puncak Perdana dan Kampus Sungai Buloh, termasuk wakil pelajar, telah disampaikan oleh Puan Nor Azyyati Md Saad, Koordinator Komunikasi Korporat, serta Encik Rosly Mahmood, Pereka.
Antara objektif utama taklimat ini adalah untuk memberi penerangan mengenai jenis-jenis perkhidmatan yang disediakan, ciri-ciri perkhidmatan tersebut, serta prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi oleh warga dan staf. Peserta juga diberikan peluang untuk bertanya soalan dan mendapat penjelasan secara langsung, sekali gus mengukuhkan komunikasi dan meningkatkan kredibiliti Unit Komunikasi Korporat dalam menjaga imej dan identiti UiTM.
Menurut pihak penganjur, taklimat ini diharap dapat membantu mempertingkatkan kesedaran PTJ di UiTM Cawangan Selangor mengenai prosedur korporat yang ditetapkan, selain mendidik mereka untuk mematuhi garis panduan yang ada serta memberi input untuk penambahbaikan perkhidmatan pada masa hadapan. Dengan adanya taklimat ini, diharapkan kesemua PTJ dapat bersama-sama menjaga imej UiTM dan meningkatkan ketampakan institusi tersebut.
Penulis: Nor Azyyati Md Saad & Unit Komunikasi Korporat UCS
Editor: Nor Azyyati Md Saad