UiTM Sediakan Geran RM3.55 juta, Penyelidikan Pasca-COVID-19


Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyediakan geran berjumlah RM3.55 juta untuk penyelidikan berimpak tinggi, khususnya yang dapat membantu menyelesaikan masalah masyarakat susulan penularan pandemik COVID-19.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim, berkata geran itu bermatlamat melonjak dan menggalakkan warga universiti berkenaan untuk lebih aktif dalam agenda penyelidikan berimpak tinggi terutama bagi membantu negara menyelesaikan masalah kemasyarakatan.

Jelasnya, geran yang akan dibuka bermula bulan depan itu, memberi tumpuan pada enam bidang tujahan penyelidikan UiTM, iaitu kesihatan dan kesejahteraan, kreativiti sosial dan inovasi, teknologi siber, tenaga dan alam sekitar, logistik dan pengangkutan serta teknologi industri, selaras matlamat pembangunan lestari (SDG).

“Geran ini yang disediakan melalui Dana Kecemerlangan Pendidikan dan Tabung Endowmen UiTM, adalah antara inisiatif di bawah Perancangan Strategik UiTM2025 dalam merancakkan budaya penyelidikan translational yang dapat memberi manfaat kepada pihak industri, masyarakat dan negara.

“Ia hasil sumbangan terkumpul melalui inisiatif alumni, staf dan sektor korporat untuk membantu universiti dalam agenda pendidikan serta penyelidikan.

“Inisiatif dan insentif disediakan ini dibuat berdasarkan situasi semasa supaya ahli akademik menggunakan ilmu serta kepakaran mereka bagi menangani isu kemasyarakatan dan negara, terutama bersangkutan COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Azraai berkata, selain menggalakkan ahli akademiknya menyelesaikan masalah masyarakat, geran itu juga bertujuan mengenal potensi penyelidik berkualiti dan berprofil tinggi serta penyelidik pelawat terutama kepada mereka yang baru menamatkan ijazah doktor falsafah (PhD) dan pasca kedoktoran.

Katanya, jumlah peruntukan yang akan diberikan untuk setiap penyelidikan bergantung kepada skop dan keperluan sesuatu penyelidikan itu.

“Kita menggalakkan penyelidik berlatar belakang pendidikan dari luar negara mengadakan kolaborasi dengan mantan penyelia mereka di sana supaya dapat memberikan impak dan reputasi baik kepada kedua-dua institusi pendidikan.

“Dalam suasana pandemik COVID-19 dan kemudahan dalam talian, penyelidik perlu merebut peluang dengan peruntukan geran ini untuk berkolaborasi dengan rakan dan mantan penyelia mereka di luar negara,” katanya.

Sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2020/06/701905/uitm-sediakan-geran-rm355-juta-penyelidikan-pasca-covid-19

0
0