UiTM Sarawak Jalankan Lawatan Penandaarasan ke IPT Terkemuka

KUCHING, 17 Januari 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah menjalankan lawatan penandaarasan ke beberapa institusi pendidikan tinggi terkemuka di Malaysia dari 12 hingga 15 Januari 2025. Lawatan yang dipimpin oleh Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohammad Isa bin Mohamadin bersama ahli Pengurusan Tertinggi UiTM Cawangan Sarawak ini melibatkan kunjungan ke Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), serta UiTM Cawangan Perak dan Pulau Pinang.

Lawatan ini bertujuan menyokong aspirasi Amanat Menteri Pengajian Tinggi 2025 dan Amanat Naib Canselor UiTM 2025, dengan fokus pada tiga teras utama: kecemerlangan akademik, pengukuhan budaya pelaporan dan tadbir urus, serta kolaborasi strategik dan promosi institusi.

Selaras dengan Post Covid Development Strategy 2030 (PCDS 2030), lawatan ini memberi penekanan kepada pembangunan mampan, ketahanan institusi, dan transformasi digital. Ia bertujuan memperkukuh daya tahan sistem pendidikan tinggi melalui pendekatan inovatif dan kerjasama strategik.

Lawatan ini membuka peluang untuk pertukaran idea, amalan terbaik, dan perkongsian pengalaman antara institusi. Ia diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada inisiatif kolaborasi dalam bidang penyelidikan, inovasi, dan pembangunan modal insan.

UiTM Cawangan Sarawak yakin lawatan ini akan memberi impak positif terhadap perancangan strategik dan inisiatif yang lebih proaktif pada masa hadapan. Antara objektif utama adalah untuk meningkatkan daya saing global dan keberkesanan institusi pengajian tinggi negara.

Lawatan ini mencerminkan komitmen UiTM dalam terus memperbaiki kualiti pendidikan dan memperluas jaringan kerjasama strategik dengan institusi pendidikan tinggi lain di Malaysia.

Penulis: Dr. Fareiny Morni