UiTM Sarawak ingin Pelopori Pewarna Semulajadi untuk Industri Kek Lapis

Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak (UiTM) berhasrat untuk mempelopori penanaman spesis Gardenia jasminoides secara meluas di Sarawak yang terkenal dengan industri kek lapis. Hasrat ini timbul hasil lawatan oleh delegasi UiTM Cawangan Sarawak ke Taiwan yang diketuai oleh Rektor UiTM Cawangan Sarawak, YBhg Profesor Dato Dr Jamil Haji Hamali pada 21 Januari 20119 yang lalu.

Salah satu lokasi lawatan mereka adalah lawatan ke Chappion Biotech Co. Ltd. Taiwan. Dalam rangka lawatan ke Chappion Biotech Co. Ltd., rombongan telah diperkenalkan dengan sejenis spesis tumbuhan daripada keluarga Rubiaceae dan lebih dikenali dengan nama “Common Gardenia” dan “Cape Jasmine” atau nama saintifiknya Gardenia jasminoides Ellis. Tumbuhan ini adalah berasal dari Taiwan, Selatan China, Jepun dan Indochina.

Dengan mempunyai bunga berwarna putih dan berbau harum seakan-akan jasmin, menyebabkan nama spesis tumbuhan ini diberikan nama “jasminoides”. Spesis tumbuhan ini digunakan dengan meluas di Taiwan terutamanya dalam industri hortikultur, makanan dan perubatan.

Di dalam industri makanan, bunga tumbuhan ini dikeringkan untuk dijadikan teh wangi manakala warna kuning semulajadi daripada buah tumbuhan ini boleh digunakan sebagai pewarna makanan.

Disamping itu, buah tumbuhan ini juga digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat demam kuning, sakit kepala, demam dan tekanan darah tinggi kerana kandungannya yang mempunyai ciri-ciri anti-radang, anti-kerengsaan, boleh mengawal pendarahan dan anti-mikro organisme.

Syarikat Chappion Biotech Co. Ltd. merupakan pengeluar pewarna semulajadi daripada extrak tumbuhan yang dihasilkan daripada buah Gardenia jasminoides. Extrak daripada buah Gardenia jasminoides menghasilkan warna kuning pekat, tetapi dengan teknologi terkini pihak syarikat telah berjaya mengasingkan warna tersebut menjadi warna-warna yang berbeza yang diperlukan di dalam indusri pengeluaran makanan.

Oleh itu, melihat kepada potensi teknologi yang dibangunkan oleh syarikat Chappion Biotech Co. Ltd., UiTM Cawangan Sarawak yakin dapat merealisasikan penanaman  tumbuhan tersebut secara meluas kerana dengan adanya  pewarna semuladi yang dihasilkan daripada buah pokok Gardenia jasminoides ini akan memberikan nilai tambah kepada pemasaran kek lapis Sarawak ke peringkat global.

Ia juga diharap mampu membantu meningkatkan hasil pendapatan khusus kepada industri kecil dan sederhana (IKS) pembuatan kek lapis di Sarawak.

0
0