UiTM Sarawak Cycling Club (USCC) Sertai Fun Bike Tour De Malindo

Penyertaan UiTM Sarawak Cycling Club (USCC) dalam Fun Bike Tour De Malindo

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak melalui UiTM Sarawak Cycling Club (USCC) telah menyertai Fun Bike Le Tour De Malindo (TDM) pada 24 hingga 25 Ogos 2019. Program ini adalah anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sarawak dengan kerjasama kerajaan Indonesia, Sosek Malindo (Sosial Ekonomi Malaysia-Indonesia).

Penganjuran program ini merupakan satu lagi usaha bertepatan dalam mengukuhkan hubungan bilateral dan setiakawan antara Sarawak dan Indonesia khasnya di Kalimantan Barat.

Penyertaan USCC adalah terdiri daripada 5 orang staf dan 2 orang pelajar, diketuai Dr Mohd Shafiq Abdullah (Timbalan Ketua Pegawai Sukan) selaku Presiden USCC, Mohamad Ismail Bin Bolia (Pembantu Pustakawan Kanan), Safizie Bin Saji (Penolong Jurutera), Yacub Bin Morshidi (Pembantu Belia & Sukan Kanan), Amizan Bin Tahet (Juruteknik Komputer Kanan), Nur Faizatul Binti Ahmad Joyo (pelajar SR243) dan Muhammad Iman Bin Alwi (pelajar AT220).

Pada 24 Ogos 2019 di Tebingan Lundu, Sarawak, seramai 75 pekayuh dari Sarawak dan 75 dari Indonesia bergabung memulakan kayuhan dari Lundu. Pelepasan peserta kayuhan telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Kayuhan pada hari pertama ini menyaksikan pekayuh dari Sarawak dan Indonesia berkayuh sejauh 119km dari Lundu ke Sambas melalui Aruk untuk pemeriksaan Imigresen, sebelum berhenti makan tengahari di Galing dan meneruskan kayuhan ke Sambas.

Sepanjang perjalanan dari Aruk ke Sambas, peserta kayuhan disambut oleh pelajar sekolah dan penduduk tempatan. Camat Sajingan, Camat Galing, Camat Teluk Keramat dan Camat Sambas turut serta berdiri di tepi jalan raya bersama penduduk tempatan untuk menyambut para peserta.  Setibanya di Sambas, para peserta telah disambut dengan drum band pelajar SD, SMP dan SMA.

Pada sebelah malam, peserta kayuhan telah diraikan semasa Majlis Malam Ramah Tamah yang dimeriahkan dengan upacara tradisional bapapas atau tepung tawar, dan tarian selamat datang. Para peserta telah dijamu dengan pelbagai hidangan dan dihiburkan dengan tarian budaya Melayu Sambas dan lagu-lagu rakyat semasa majlis tersebut.

Pada 25 Ogos 2019, kayuhan diteruskan dari Sambas ke Singkawang. Kayuhan dimulakan di Istana Alwazukubillah, Sambas di mana para peserta telah berkayuh sejauh 80km dari Sambas ke Pemangkat, dan seterusnya ke Singkawang. Ketibaan para peserta di Singkawang disambut dengan meriah dan medal penamat telah dikalung kepada setiap peserta kayuhan sewaktu ketibaan.

Para peserta kemudiannya disajikan dengan jamuan makan tengahari. Pada sebelah malam, peserta kayuhan telah diraikan dengan penuh gilang gemilang semasa Gala Dinner Fun Bike Tour de Malindo di Rumah Dinas Wali Kota Singkawang. Pada majlis tersebut, para peserta telah dihiburkan oleh artis terkenal Indonesia, Iva Lola.

1
0