UiTM Sarawak Cycling Club (USCC) Jalin Persahabatan melalui Kembara Tawau-Semporna

SEMANGAT : Pekayuh USCC dan MJCC bersedia untuk memulakan kayuhan ke Semporna

KOTA SAMARAHAN: Kembara Tawau-Semporna merupakan program berbasikal berkonsepkan “Fun & Friendship Ride” telah diadakan pada 11 hingga 14 Oktober 2019. Penganjuran program ini merupakan salah satu usaha UiTM Sarawak Cycling Club (USCC) untuk memperkenalkan USCC dan UiTM Cawangan Sarawak di persada sukan berbasikal.

Program ini merupakan program persahabatan antara USCC dan Matang Jaya Cycling Club (MJCC) dalam usaha menjalin kerjasama dan kemesraan sesama ahli. Pekayuh yang mewakili USCC adalah Presiden USCC, Dr Mohd Shafiq Abdullah (Timbalan Ketua Pegawai Sukan) dan En Mohamad Ismail Bin Bolia (Pembantu Pustakawan Kanan).

Pada 11 Oktober 2019, para peserta telah tiba di Tawau pada jam 12.55 tengahari. Ketibaan para peserta telah disambut mesra oleh Semporna Edu Cycling Team (SECT) di Lapangan Terbang Tawau. Kayuhan pada hari pertama dimulakan pada sebelah malam, di mana para peserta telah berkayuh secara santai di sekitar bandar Tawau. Kayuhan santai pada hari pertama ini merupakan program selingan kepada para pekayuh USCC dan MJCC.

KENTAL : Selamat tiba di Semporna selepas 116km kayuhan mendaki bukit

Pada 12 Oktober 2019, para peserta telah memulakan kayuhan dari Tawau ke Semporna seawal jam 7.00 pagi. Pekayuh SECT telah menyambut ketibaan para peserta di Kampung Sin Sin, 15km sebelum tiba di Semporna. Dari Kampung Sin Sin, semua pekayuh USCC, MJCC dan SECT telah sama-sama meneruskan kayuhan ke Semporna. Kayuhan pada hari kedua yang memakan masa selama 5 jam merupakan cabaran kepada semua peserta di mana para peserta telah berkayuh mengharungi bukit bukau di sepanjang perjalanan. Jarak kayuhan untuk hari kedua adalah sejauh 116km.

Pada 13 Oktober 2019, Kayuhan Setiakawan Jelajah Pulau Bum Bum telah dianjurkan oleh  SECT sebagai program jalinan persahabatan antara SECT dengan USCC dan MJCC. Para peserta menaiki bot dari jeti guru ke jeti Balimbang bersama basikal masing-masing. Kayuhan dimulakan dari Kampung Balimbang dan melalui beberapa buah kampung seperti Kampung Gelam Gelam, Kampung Egang Egang dan Kampung Look Sisarah sebelum berhenti di SK Berpusat.

KENANGAN : Penuh semangat menyertai Kayuhan Setiakawan Jelajah Pulau Bum Bum

Perjalanan diteruskan melintasi Kampung Sulabayan, Kampung Terusan dan Kampung Hampalan sebelum berhenti seketika di SK Tongkaloh. Seterusnya, para peserta menamatkan kayuhan di jeti Balimbang di mana jarak keseluruhan kayuhan adalah sejauh 44km. Kayuhan pada hari ketiga ini merupakan kayuhan santai sambil menikmati pemandangan di persisiran pantai dan keindahan pulau. Para peserta telah dihidangkan dengan jamuan tengahari sambil merasai kenikmatan bayu laut sebelum berangkat menaiki bot ke Semporna.

Pada jam 3.00 petang, para peserta kembali semula ke Tawau dengan menaiki dua buah kenderaan 4×4 dan sebuah van. Para peserta tidak ketinggalan untuk mengambil kesempatan membeli makanan laut kering di Pasar Besar Tawau sebelum berangkat pulang ke Kuching pada 14 Oktober 2019.

Semoga dengan penglibatan ini akan dapat membantu menaikkan lagi nama UiTM Cawangan Sarawak di persada sukan berbasikal di Borneo.

Oleh: Aima Sumiyati Binti Maliki

0
0