SUNGAI BULOH, 2 Januari 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), Puncak Alam, telah secara rasmi menerima Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama (SMKSU) sebagai anak angkat dalam inisiatif Program Anak Angkat. Majlis pemeteraian kerjasama ini diadakan pada 2 Januari 2025, menandakan permulaan usaha jangka panjang untuk memperkembangkan kreativiti dan keterangkuman dalam pendidikan.
Menurut Dekan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM, Prof. Madya Dr. Yusfida Ayu Abdullah @ Mohd Zain, program ini bertujuan untuk memperkasakan pelajar PPKI melalui aktiviti seni dan reka bentuk. “Kami percaya seni adalah medium yang dapat menyatukan pelbagai pihak dan memberi impak positif kepada masyarakat, termasuk pelajar PPKI,” ujarnya.
Pengetua cemerlang SMKSU, Hjh. Noor Hayati Binti Embong K.M.N., menyatakan rasa syukur dan bangga kerana sekolahnya dipilih untuk program ini, yang memberikan peluang besar untuk persekitaran sekolah dan membina keyakinan diri pelajar PPKI.
Aktiviti pertama program ini dijadualkan bermula pada 16 Januari 2025, dengan projek lukisan mural dan kanvas oleh pelajar semester satu dan pensyarah dari Pusat Pengajian Senibina. Aktiviti ini bertujuan menceriakan persekitaran sekolah dan memberikan platform kepada pelajar PPKI untuk menunjukkan bakat seni mereka.
Pensyarah dari bidang senibina akan membimbing guru-guru PPKI untuk memperkasakan pengajaran. Dr. Hailane Salam, Ketua Pusat Pengajian Senibina dan Senibina Dalaman, menyokong inisiatif ini untuk memupuk kreativiti dan inklusiviti di kalangan pelajar PPKI.
Majlis pemeteraian diakhiri dengan sesi simbolik di mana wakil UiTM dan SMKSU memperkenalkan pelan awal program dan mengadakan lawatan tapak ke kawasan mural. Aktiviti ini dijangka melibatkan 40 pelajar dan 13 pensyarah UiTM serta pelajar dan guru PPKI SMKSU.
Dengan kerjasama ini, UiTM dan SMKSU berhasrat untuk meneruskan pelbagai program tambahan di masa depan, seperti bengkel pemindahan ilmu dan pengindahan landskap sekolah, sehingga menjadi contoh kepada institusi lain dalam memanfaatkan pendidikan inklusif.