22 Januari 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah memperoleh pengiktirafan dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject 2025, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan kedudukannya pada peringkat global. THE World University Rankings by Subject 2025 menilai universiti di seluruh dunia melibatkan 11 bidang subjek utama menggunakan 18 penunjuk prestasi. Penunjuk prestasi ini dikategorikan di bawah lima teras utama iaitu Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri, dan Pandangan Antarabangsa. Berbeza dengan QS World University Rankings by Subject, THE memberi tumpuan lebih kepada hasil dan reputasi penyelidikan, selain kualiti penyelidikan serta pendapatan industri, dan yang penting ialah penilaian keberkesanan pemindahan ilmu.
Pada tahun ini, UiTM berjaya meraih kedudukan 301+ bagi subjek Undang-undang, menjadikannya antara hanya empat universiti di Malaysia yang tersenarai dalam subjek tersebut. Pencapaian yang membanggakan ini mencerminkan komitmen UiTM dalam mengukuhkan bidang Undang-undang di peringkat antarabangsa. Melalui penarafan ini, sembilan lagi subjek UiTM tersenarai iaitu Kajian Pendidikan berada dalam kedudukan 501-600, Seni dan Kemanusiaan, 601+, Perniagaan dan Ekonomi, 601-800, Sains Hayat dan Sains Sosial, 801-1000, Kejuruteraan, 1001-1250, manakala Sains Fizikal, Sains Komputer, serta Perubatan dan Kesihatan berada pada kedudukan 1001+. Pencapaian ini menggambarkan usaha berterusan UiTM untuk terus berkembang dan bersaing pada peringkat global, di samping memberikan impak positif dalam pelbagai bidang akademik.