UiTM Raih Anugerah Global Good Governance 2022 Di Dubai

Dubai, UAE 18 Mei 2022 – Global Good Governance 2022 merupakan satu program inisiatif khidmat masyarakat yang mempromosikan amalan tadbir urus yang baik dari seluruh seluruh dunia. Cambridge IFA merupakan peneraju kepada inisiatif tersebut. Justeru, satu majlis anugerah Global Good Governance Awards atau Anugerah 3G telah diadakan bagi meraikan individu, kerajaan, institusi awam dan swasta serta NGO yang telah mempamerkan perlaksanaan tadbir urus dan kemampanan sebagai keutamaan strategik dalam organisasi mereka. Sebanyak 3 kategori telah diketengahkan iaitu Tadbir Urus dan Politik, Sektor Korporat serta Sektor Sosial dan Filantropi. Universiti Teknologi MARA (UiTM) mendapat pengiktirafan tinggi dengan memenangi kategori 3G SDGs Championship Award 2022 dalam majlis penganugerahan tersebut. Majlis tersebut  berlangsung pada 18 Mei 2022 dalam mod hibrid pada jam 8.00 malam secara langsung di Hotel Conrad, Dubai.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor telah hadir dan menerima anugerah tersebut bersama-sama delegasi UiTM yang terdiri daripada Dekan Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Profesor Dr Haryani Haron, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, dan Ts Dr Hayati Abd Rahman, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Jabatan Komunikasi UiTM. Penyerahan anugerah telah disampaikan oleh Dr Humayon Dar, Ketua Pengarah, Cambridge Institute of Islamic Finance. Sebanyak 51 anugerah dipertandingkan dan 29 penerima anugerah dari pelbagai sektor di seluruh dunia hadir dalam majlis yang berprestij itu. Antara yang hadir dalam majlis tersebut ialah Doha Bank, DRB-HICOM Berhad, Evermos, Brunei Institute of Leadership & Islamic Finance (BILIF), Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS), ASEAN Foundation dan Virtual University Pakistan.

Ketika menyampaikan ucapan di majlis tersebut, Naib Canselor UiTM menyatakan rasa berbesar hati beliau atas penerimaan anugerah tersebut. Sebagai institusi pengajian tinggi, misi UiTM ialah menyediakan pendidikan berkualiti kepada golongan yang kurang berkemampuan dalam komuniti untuk mendapat perkhidmatan di Malaysia. Sebagai universiti yang terbesar di Malaysia, UiTM telah melahirkan hampir 900,000 profesional terdiri daripada doktor, jurutera, peguam, dan akauntan kepada arkitek, pemuzik, penghibur, artis.

Berikutan itu, beliau meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Humayon Dar atas penganjuran dan pengiktirafan tersebut. Tidak ketinggalan penghargaan kepada Menteri Pengajian Tinggi dan Kerajaan Malaysia, rakan kongsi institusi tempatan dan antarabangsa, pihak berkepentingan serta keluarga UiTM.

Satu sidang kemuncak Global Good Governance Summit 2022 telah diadakan pada sebelah petang. Naib Canselor UiTM telah dijemput menjadi panel dalam forum bertemakan Good Governance for Sustainability Development. Topik perbincangan yang diketengahkan oleh beliau ialah berkenaan dengan Kemampanan Kepimpinan (Sustainability Leadership). Turut hadir sebagai panel ialah Profesor Dr Raheel Qamar, Pengarah Organisasi Pendidikan, Saintifik dan Budaya lslamik dan H. E. Sawsan Al-Fahoum Jafar, Pengerusi Lembaga Pengarah dan Ahli Pengasas Rakan Pesakit Kanser.

Dalam forum tersebut, mereka membincangkan mengenai isu global mengenai masyarakat yang berdepan dengan penggunaan teknologi dan inovasi digital yang telah mengancam privasi, keselamatan dan ketidakseimbangan sumber alam. Selain itu, turut dibincangkan ialah peranan tadbir urus yang pelbagai dalam mencapai matlamat pembangunan lestari dan pemantapan filantrofi untuk memacu impak sosial dalam jangka masa panjang. Selain itu, perbincangan juga tertumpu kepada bagaimana sektor sosial boleh membina dan mengekalkan nilai seperti kepelbagaian, tanggungjawab dan ketelusan perniagaan dalam keadaan ekonomi yang didorong oleh teknologi disruptif dan peranan pemimpin dalam menangani cabaran kepimpinan di organisasi.

Sidang kemuncak tersebut tidak tertumpu kepada kemampanan kepimpinan sahaja, malah turut membincangkan mengenai tadbir urus, pembangunan kemampanan dan pemerkasaan. Panel terdiri daripada H. E. Saeed Mohammed Al Tayer, Pengarah Urusan dan Pegawai Eksekutif, Dubai Electricity and Water Authority (TBC), Dr Ashraf Gamal El Din, Pegawai Eksekutif Tertinggi, Hawkamah, Emilio Benito Aquino, Pengerusi Securities and Exchange Commission Philippines dan Hajah Sufinah Haji Sahat, Pegawai Eksekutif Tertinggi, Brunei Institute of Leadership & Islamic Finance (BILIF).

Perbincangan tertumpu kepada kaedah tadbir urus dan pentadbiran awam yang baik, penambahbaikan tadbir urus serta usaha mencapai matlamat pembangunan lestari, adaptasi teknologi dan inovasi untuk merubah tadbir urus, peranan korporat dalam membentuk dunia yang mampan dan kaedah untuk mengerakkan tindakan dalam masyarakat secara menyeluruh.