UiTM Rai Pencapaian Akademik Dalam Majlis AAU Ke-14

KLANG, 29 NOVEMBER 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan Majlis Anugerah Akademik Universiti (AAU) Ke-14 di Wyndham Acmar Hotel, Bandar Baru Klang mengiktiraf kecemerlangan staf akademik dalam 17 kategori anugerah.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin dalam ucapannya berkata, “Para akademia UiTM adalah inspirasi kepada mahasiswa dan masyarakat, mencerminkan nilai kecemerlangan serta menjadi peneraju pemikiran yang melangkaui sempadan akademik.”

Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Ariff Farhan Doss, menyaksikan 234 pencalonan merangkumi tujuh Anugerah Utama dan 10 Anugerah Khas.

Datuk Dr. Roziah Mohd Janor menerima penghargaan istimewa Sanjungan Tokoh Pemerkasa Akademik atas sumbangannya dalam meningkatkan kualiti pendidikan universiti.

“Pencapaian UiTM di peringkat antarabangsa terus membanggakan dengan kedudukan ke-587 dalam QS World University Rankings 2025 dan ke-98 dalam QS Asia University Rankings 2024,” tambah Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin.

Para pemenang AAU Ke-14 berpeluang dicalonkan ke peringkat Anugerah Akademik Negara (AAN), sekali gus mengukuhkan kedudukan UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang berprestasi tinggi di Malaysia.