PULAU PINANG, 13 Mei 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 13 Mei 2024 di Bilik Mesyuarat Ibnu Sina, JKM Pulau Pinang.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Kay Dora Binti Ab Ghani, selaku Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Masyarakat, dan Alumni UiTM Cawangan Pulau Pinang, mewakili Profesor Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Bin Razali, Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang. Turut hadir ialah Yang Berusaha Encik Amir Heberd Bin Abdullah, selaku Penolong Rektor Kampus Bertam UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Penggerak utama MoU ini diketuai oleh Dr Rusnani Ab Latif, Prof. Madya Ts. Dr Ismahanisa Ismail, Ts. Dr. Nadiatul Syima Mohd Shahid, dan Puan Norasma Bakar dari Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Menerusi kerjasama ini, antara faedah yang dapat diperoleh ialah penganjuran simposium, persidangan, kursus pendek, dan mesyuarat berkenaan isu-isu semasa. Selain itu, kedua-dua pihak akan berkongsi maklumat mengenai perkembangan isu-isu pendidikan, penyelidikan, dan industri. Kerjasama ini juga akan mempromosikan aktiviti yang dianjurkan antara satu sama lain, serta menjalankan program komuniti bersama ke arah kesejahteraan masyarakat.
Kolaborasi ini juga memberi manfaat tidak ketara, iaitu memperluas jaringan kerjasama antara UiTM Cawangan Pulau Pinang dengan pihak akademik dan industri. Hal ini dapat mengukuhkan lagi usaha terhadap kepentingan kesejahteraan masyarakat.
UiTM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang atas kesanggupan menjalinkan kerjasama bersama.