KUALA LUMPUR, 7 Jun 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Grayscale Technologies Sdn. Bhd. (anak syarikat kumpulan Technodex Berhad) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk memperluaskan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Inisiatif ini merupakan hasil usaha Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang untuk memperkukuhkan hubungan dengan industri. MoU ini memfokuskan kepada aspek kajian dan pembangunan inovasi produk serta dan Pembangunan teknologi pertanian bandar khususnya sistem pertanian moden, termasuk mendalami isu pertanian bandar dan sistem pertanian dalam kabin dan bangunan.
Ir Ts Mohamed Syazwan Bin Osman, yang memimpin inisiatif ini bersama rakan-rakan penyelidik rentas disiplin di UiTM Cawangan Pulau Pinang termasuk dari Pengajian Kejuruteraan Kimia, Pengajian Kejuruteraan Elektrik, Pengajian Kejuruteraan Awam, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan dan Jabatan Pengurusan Perniagaan, akan mengawasi pelaksanaan kerjasama ini. Turut membantu penyelidik dari Kolej Komuniti Seberang Jaya dan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim.
Grayscale Technologies Sdn. Bhd. juga membuka peluang kepada pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang untuk Latihan Industri, seminar, dan bengkel peningkatan kemahiran kerjaya. Ini adalah langkah penting bagi memperkasakan bidang teknologi pertanian bandar, terutamanya dalam pembangunan sistem pertanian yang mampan.
Pertukaran memorandum ini dilakukan oleh Penolong Naib Canselor UiTM (Pemerkasaan Adiwangsa, Professor Dr. Amer Shakir Zainol bersama dengan YTM Tunku Izzudin Shah bin Tunku Abdul Hamid Thani, Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) Kumpulan Syarikat Technodex Berhad, serta Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang , Prof Ir Dr Haji Ahmad Rashidy Razali, dan Pengarah Eksekutif Technodex Berhad., En. Tan Sze Chong.
Dijangkakan MoU ini akan merancakkan pelbagai aktiviti yang memberi impak positif kepada kedua-dua pihak, seterusnya menyumbang kepada pembangunan mampan dan kelestarian industri pertanian bandar.