UiTM Perlis Tuan Rumah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Zon Utara 2024

Arau, 26 September 2024 – Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis telah menganjurkan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UiTM Peringkat Zon Utara 2024 secara atas talian. KIK UiTM Peringkat Zon Utara 2024 melibatkan empat buah kampus cawangan yang terdiri daripada UiTM Cawangan Perlis, UiTM Cawangan Kedah, UiTM Cawangan Pulau Pinang dan UiTM Cawangan Perak. Sebanyak sembilan kumpulan telah membuat pembentangan antaranya ialah Kumpulan FOODIES, ILHAM, JERAMI, BFIT, QUANTAPRO, ELITE APPS, INFOKRAT, F-TECH, dan DIGEST.

YBrs Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof Madya Dr Shukor Sanim Mohd Fauzi berkata penganjuran Konvensyen KIK ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UiTM dalam memastikan universiti keramat ini kekal relevan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui penghasilan produk dan penyelesaian inovatif. Beliau juga berkata projek-projek inovasi yang dipertandingkan kali ini telah mengaplikasikan teknologi terkini, yang bukan sahaja memberikan penyelesaian yang efisien dan efektif tetapi juga mampu meningkatkan kualiti kehidupan semua pihak yang terlibat.

Dalam masa yang sama, YBrs Ketua Unit Kualiti UiTM Cawangan Perlis, Dr. Aznoora Osman berkata matlamat utama konvensyen ini adalah untuk menyediakan sebuah platform bagi para peserta KIK UiTM Zon Utara mempertandingkan projek inovasi, yang akan dinilai dengan telus dan adil oleh para juri yang dilantik.

Kovensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UiTM Peringkat Zon Utara 2024 telah diadili oleh ketua juri iaitu YBrs Puan Zuraini Jusoh. Dalam pembentangan rumusan laporan KIK UiTM Zon Utara 2024, beliau mengucapkan sekjalung tahniah kepada para peserta kerana berjaya menghasilkan projek mengikut prosedur Quality Control Story (QC Story) dan menggunakan teknik dan kaedah metodologi Design Thinking (DT) dan Blue Ocean Strategy (BOS). Beliau juga amat berpuas hati dengan dengan pembentangan oleh para peserta yang tidak melebihi masa yang diperuntukan dan telah menghasilkan reka bentuk slaid pembentangan yang amat menarik.

Sementara itu, Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UiTM Peringkat Zon Utara 2024 telah dirasmikan dengan jayanya oleh YBhg Penolong Naib Canselor Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), Prof. Dr. Azizah Abdullah. Konvensyen kali ini meyaksikan Kumpulan Ilham dari UiTM Cawangan Kedah telah muncul sebagai Johan dan Naib Johan disandang oleh Kumpulan INFOKRAT dari UiTM Cawangan Perak manakala tempat ketiga jatuh kepada Kumpulan BFIT dari UiTM Cawangan Kedah dimana para pemenang membawa pulang hadiah berupa wang tunai, piala dan sijil. Manakala wakil Tuan Rumah UiTM Cawangan Perlis pula membawa pulang Anugerah KIK Istiqomah melalui Kumpulan DIGEST dan Anugerah KIK Berpontensi melalui Kumpulan F-TECH.