Pada tanggal 29/10/2024 telah berlangsung satu program komuniti anjuran Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Perlis. Program yang dinamakan “Fun with English Camp” ini melibatkan seramai 105 pelajar tahun 5 dan 6 dari Sekolah Kebangsaan (Felda) Chuping, Perlis.
Antara objektif program ini ialah untuk memperbaiki kemahiran bertutur, mendengar, menulis dan tatabahasa dalam Bahasa Inggeris. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan keyakinan para pelajar dalam menggunakan Bahasa Inggeris dalam pelbagai konteks terutamanya akademik. “Fun with English Camp” adalah kem Bahasa Inggeris yang telah dirancang khas untuk pelajar sekolah rendah yang mempunyai tahap kemahiran asas dalam Bahasa Inggeris. Kem ini menggabungkan aktiviti pembelajaran menerusi kaedah permainan yang menarik. Antara tujuan utama kem ini adalah untuk meningkatkan kosa kata, menambah pemahaman dalam penggunaan kata ganti nama, tatabahasa, dan meningkatkan kemahiran menulis emel. Pelajar telah terlibat secara aktif dalam sesi interaktif di mana mereka digalakkan untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris. Dengan gabungan pembelajaran dan permainan, kem ini telah berjaya menyediakan persekitaran yang menyokong di mana pelajar dapat meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris mereka sambil melakukan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan.
Seawal jam 8 pagi, para pelajar dan beberapa orang guru pengiring tiba di perkarangan UiTM menaiki bas yang disediakan oleh pihak UiTM. Mereka telah menjalankan aktiviti di dalam Dewan Cengal dengan kehadiran pensyarah dari Akademi Pengajian Bahasa sebagai tenaga pengajar dengan bantuan seramai 40 orang fasilator yang terdiri dari kalangan pelajar UiTM Cawangan Perlis. Sesi program dibahagikan mengikut tajuk tertentu termasuklah “noun and pronoun”, “tenses”, “email” dan “creative writing”. Dalam setiap aktiviti, ia dimulakan dengan sesi pengajaran ringkas dan kemudian diikuti dengan aktiviti interaktif. Para pelajar sangat teruja dan bersemangat dalam menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.
Bukan itu sahaja, terdapat juga sesi “aerodance” memanaskan badan bersama sekumpulan pelajar dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi. Mereka bersama-sama bersenam dengan cara yang menyeronokkan melalui tarian dan para pelajar sangat gembira dan terhibur dengan aktiviti selingan itu. Para pelajar dari SK (Felda) Chuping memberikan maklumbalas yang sangat positif. Mereka sangat teruja dan melalui pengalaman yang menyeronokkan sepanjang program ini berlangsung.
Majlis penutup pada jam 5.00 petang telah disempurkan oleh Prof Madya Dr. Shukor Sanim yang menjalankan fungsi Rektor, En Zuel Azwar bin Desa, Guru Besar SK (Felda) Chuping dan Dr. Nazira Osman selaku Koordinator Akademi Pengajian Bahasa. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang untuk membantu pelajar terutamanya yang lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris.