UiTM Perlis agih makanan percuma

ARAU 5 April – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis memperkenalkan ‘Bantuan Makanan Percuma’ bertujuan meringankan bebanan pelajar yang datang daripada keluarga yang berpendapatan 40 peratus terendah (B40) khususnya asnaf miskin.

Program berkenaan telah dilancarkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di pekarangan Masjid An Nur kampus universiti berkenaan di Arau petang semalam.

Menyambut keberangkatan tiba Baginda ialah Rektor UiTM Perlis, Zailuddin Ariffin, Timbalan-timbalan beliau serta kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Perlis.

Majlis tersebut dilaksanakan bersempena aktiviti ‘Kayuhan Usaha, Taqwa, Mulia – Konvokesyen UiTM ke 90’ yang disekalikan dengan program ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Kali ke-24 bagi Tahun 2019’ sempena istiadat Konvokesyen UiTM peringkat Cawangan Perlis pada 13 dan 14 April ini.

Program berkenaan adalah inisiatif khidmat sosial para pegawai dan kakitangan UiTM Perlis yang akan secara bergilir bergotong-royong memasak makanan untuk dihidangkan secara percuma kepada pelajar bermula pada minggu hadapan.

Buat permulaannya ia akan dilaksanakan tiga kali seminggu.

Pada majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM600 setiap seorang kepada 200 mahasiswa terpilih yang berasal dari pelbagai negeri dalam kalangan keluarga asnaf yang dikenal pasti oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu di samping 50 orang lagi pelajar terpilih daripada SMK Mata Ayer Perlis.

Zailuddin dalam pada itu melahirkan rasa terharu apabila dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor bahawa pihak MAIPs bersetuju untuk bekerjasama menaja 10 hari pertama pelaksanaan penyediaan hidangan makanan bernilai RM10,000 untuk dimanfaatkan oleh para pelajar terbabit. – UTUSAN ONLINE

Sumber: http://www.utusan.com.my/uitm-perlis-agih-makanan-percuma-1.877198#ixzz5kZ7q5POC
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0