UiTM Perkukuh Kedudukan Dalam Penarafan Qs World University Rankings By Subject 2022

SHAH ALAM, 6 April – Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkukuh kedudukan dengan tiga (3) broad subject areas dan 14 subjek secara keseluruhan berjaya tersenarai dalam penarafan QS World University Rankings by Subject 2022 yang diumumkan semalam.

Laporan edisi ke-12 bagi QS World University Rankings by Subject telah dikeluarkan berdasarkan kepada empat (4) petunjuk utama, iaitu reputasi akademik (Academic Reputation), reputasi majikan (Employer Reputation), Citations per paper dan H-Index oleh QS Quacquarelli Symonds, sebuah badan penarafan institusi pengajian tinggi antarabangsa. Penarafan pada kali ini melibatkan 1,543 buah universiti dari 88 lokasi di seluruh dunia dalam 51 subjek yang telah dikategorikan kepada lima (5) broad subject areas.

Subjek Hospitality & Leisure Management berjaya memperbaiki pencapaian apabila berada pada kedudukan ke-42 terbaik dunia berbanding 51-100 pada tahun lepas. Subjek Petroleum Engineering dan Architecture/Built Environment pula terus mengekalkan kedudukan masing-masing iaitu pada kedudukan 101- 150 dan 151-200 dunia dengan diikuti oleh dua lagi subjek lain yang masing-masing mengekalkan kedudukan pada 351-400 bagi Engineering – Electrical & Electronic dan Computer Science & Information Systems pada kedudukan 501-550.

Untuk edisi kali ini, tiga (3) subjek baharu telah tersenarai dalam penarafan ini iaitu Engineering – Chemical, Agriculture & Forestry dan Law. Subjek undang-undang UiTM telah berjaya menunjukkan pencapaian tertinggi bagi indikator reputasi akademik (Academic Reputation) dengan skor 58.3.

Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dalam kenyataannya, pencapaian dalam mengekalkan kedudukan cemerlang menerusi penarafan QS World University Rankings ini menunjukkan kesungguhan dan sokongan padu daripada warga dan pengurusan universiti. Menurutnya lagi, setiap usaha dan strategi digerakkan dalam memainkan peranan bagi memastikan sasaran untuk menyenaraikan 20 subjek dan 2 subjek Top 100 dalam QS World University Rankings by Subject seperti yang digariskan dalam pelan strategik UiTM 2025 akan tercapai.