UiTM Perkenal Pembelajaran Berasaskan Kepintaran Buatan Kepada Pelajar SK Padang Jawa

Padang Jawa, 23 Mei 2024 – Seiring perkembangan teknologi semasa yang berubah pada kadar yang luar biasa, pelajar tahun akhir Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Padang Jawa (SK Padang Jawa) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan program berkonsepkan pembelajaran pintar dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Selaras dengan hasrat AI Talent Roadmap 2024 – 2030 Kerajaan Malaysia, pendedahan teknologi berasaskan kecerdasan buatan kepada pelajar sekolah rendah ini dapat membantu  kanak-kanak memahami bagaimana teknologi ini diaplikasikan kepada kehidupan seharian.Program ini telah disempurnakan oleh wakil pengurusan KPPIM, Ts Nurzeatul Hamimah Hamid, Koordinator Jaringan Industri.  Program ini merupakan sebahagian dari inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM). 

Program yang melibatkan pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Pintar, KPPIM serta hampir 150 murid SK Padang Jawa ini dimulakan dengan ceramah pembelajaran berkenaan kepintaran buatan bertajuk “Smart Learning AI”. Peserta diberi pendedahan tentang apa itu kepintaran buatan serta contoh-contoh kepintaran buatan yang diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Ia diikuti dengan aktiviti secara praktikal yang dinamakan“AI Explorace”. Pelbagai sub-aktiviti dijalankan  yang melibatkan “Quickdraw”, “Emootion”, “Recycle Heroes”, “Traffic Light & Pail Pong”, dan “GenAI” yang memberi peluang kepada peserta menggunakan AI secara ‘hands-on’. Sesi ini bukan sahaja telah menarik minat murid tahun 5 SK Padang Jawa dalam menceburi bidang Artificial Intelligence bahkan telah menerapkan konsep pemikiran kritikal dan penyelesain masalah dalam diri mereka.  

Aktiviti yang dilaksanakan ini telah mendapat respon positif daripada guru-guru, termasuk peserta dikalangan murid-murid SK Padang Jawa. Encik Mohd Salahuddin Bin Nayan, Guru Besar SK Padang Jawa amat menghargai dan menyokong usaha murni UiTM dalam memperkasakan pembelajaran berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) di sekolah tersebut. 

Program MEGA KPPIM SULAM 2023/2024 merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Siswazah diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana ilmu yang diperolehi mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti sebegini bukan sahaja membawa dampak positif kepada komuniti, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) 4 iaitu Pendidikan Berkualiti, serta SDG 11 iaitu Bandar dan Masyarakat Mampan. Ia juga turut mendukung aspirasi Kerajaan untuk membentuk Masyarakat Madani.