SHAH ALAM, 19 JUN 2024 –Shah Alam : Sejumlah 26 ekor lembu dan 22 ekor kambing telah dikorbankan sempena Majlis Ibadah Korban dan Akikah Peringkat UiTM 2024 di Tapak Korban Universiti Teknologi MARA (UiTM). Daripada jumlah tersebut, UiTM telah menerima sumbangan seekor lembu korban sempena sambutan Aidiladha daripada RHB Bank sebagai satu inisiatif sektor perbankan dalam melaksana khidmat sosial serta pembangunan kerohanian di UiTM. Sumbangan telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Adissadikin Ali, CEO of RHB Islamic Bank.
Secara tradisinya sejak beberapa. tahun lalu, UiTM telah membuka peluang kepada semua warga untuk menunaikan ibadah korban melalui kaedah potongan gaji serendah RM 80 selama sepuluh bulan sebelum ibadah korban diadakan.
Prof. Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dalam ucapannya berkata, UiTM sangat menggalakkan warganya untuk menyertai ibadah korban dan kita yakin ramai yang berniat dan berhasrat untuk melaksanakannya. Oleh sebab itu, dengan adanya kaedah potongan gaji ini, kita berharap dapat memudahkan warga UiTM menyempurnakan niat mereka menunaikan ibadah yang sangat dituntut dalam Islam.
Ibadah korban pada tahun ini juga turut melibatkan para sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar dalam proses melapah, memotong, membungkus, mengagih dan memasak daging korban yang dilakukan di Tapak Korban UiTM yang dikelolakan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, UiTM Shah Alam.
Dalam majlis ini juga, lebih 300 orang warga B40 termasuk beberapa Rumah Anak Yatim telah menerima agihan daging korban pada kali ini.
Turut hadir, YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin Shahib@Shahibuddin, Naib Canselor, YBhg. Prof Dr. Amer Shakir Zainol, Penolong Naib Canselor ( Pemerkasaan Adiwangsa), Ahli Majlis Eksekutif Universiti, YBrs. Haji Hanafi Haji Hamdani, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Islam, serta beberapa tetamu kehormat yang lain.