IPOH, 8 SEPTEMBER 2024 – Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2024, yang berlangsung dari 6 hingga 8 September 2024 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, telah menarik perhatian ramai dengan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk golongan belia. Bertemakan “Pembangunan Sosial: Kelestarian Alam & Biodiversiti,” acara ini bertujuan untuk memupuk bakat dan memberi pendedahan kepada anak muda dalam pelbagai bidang.
Jabatan Seni Reka Fesyen dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, telah menunjukkan komitmen tinggi dalam Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2024 yang diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Sebagai penyumbang kreatif utama dalam karnival ini, jabatan seni reka fesyen telah membawa elemen inovasi dalam dunia fesyen dengan memfokuskan pameran fesyen lestari dengan penekanan kepada rekaan beretika yang memanfaatkan bahan terpakai, seperti pakaian lama dan sisa tekstil, dalam usaha mengurangkan pembaziran sumber dan kesan buruk industri fesyen terhadap alam sekitar.
Karnival yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, menarik sekitar 400,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti seperti karnival kerjaya, festival sukan, e-sukan, dan konsert. Acara ini juga menjadi platform penting untuk belia mengetengahkan bakat dan membina rangkaian dalam pelbagai sektor.
Penglibatan aktif UiTM Perak dalam KAMU 2024 membuktikan bahawa pendidikan dan kesedaran alam sekitar boleh digabungkan dengan industri fesyen untuk mewujudkan perubahan positif. Karnival ini menjadi titik tolak dalam mempromosikan amalan fesyen lestari di kalangan belia, seterusnya menggalakkan mereka untuk terus memajukan sektor ini dengan pendekatan yang lebih bertanggungjawab.