UiTM Perak Perkukuh Jaringan Akademik dan Industri ke Jakarta, Bandung dan Surabaya, Indonesia

Seri Iskandar, 6 Julai 2024 – Dalam usaha memperkukuh hubungan akademik dan industri, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak baru-baru ini telah melaksanakan lawatan strategik ke Jakarta, Bandung, dan Surabaya, Indonesia. Lawatan yang berlangsung dari 28 Mei hingga 4 Jun 2024 ini bertujuan memperluas kerjasama antara institusi pendidikan serta pemain industri di kedua-dua negara.

Delegasi ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim, Rektor UiTM Perak. Turut serta dalam lawatan ini ialah Prof. Madya Dr. Muhamad Abd Aziz Ab Gani, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Prof. Madya Sr Dr. Irwan Mohammad Ali, Kolej Pengajian Alam Bina, Encik Ashraf Abdul Rahman dan Encik Muh Sarip Abd Rahman, Pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif.

Semasa di Jakarta, delegasi telah melawat Universiti Pembangunan Jaya (UPJ) dan PT. Pembangunan Jaya di Kota Tangerang Selatan. Pertemuan dengan Presiden UPJ, Ir. Frans Satyaki Sunito dan Rektor UPJ, Dr. Ir. Yudi Samyudia telah dilaksanakan bagi membincangkan peluang kerjasama dalam penyelidikan, pertukaran pelajar, dan program akademik. Sementara itu, pertemuan dengan PT. Pembangunan Jaya menekankan potensi kerjasama industri dalam bidang alam bina. Delegasi turut melawat Creativebox Bintaro dan telah berkongsi pengalaman dalam industri kreatif. Mereka juga diundang sebagai penceramah tentang cabaran industri kreatif dan AI dalam dunia akademik di UPJ.

Lawatan kemudian diteruskan ke Institut Seni Budaya Indonesia (ISBI) Bandung,  suatu sesi perbincangan dengan Dr. Supriatna, Wakil Rektor Perencanaan, Sistem Informasi dan Kerjasama ISBI telah diadakan. Tujuan utama pertemuan adalah untuk mengukuhkan kerjasama akademik dalam bidang seni dan budaya. Delegasi turut mengunjungi rakan industri Gloya Karya dan Kopi Warga untuk membincangkan kerjasama dalam penghasilan produk seni dan kraf komersial serta potensi dalam bidang keusahawanan dan penyelidikan produk kopi.

Kemudian, delegasi ini mengunjungi Universiti Kristian Petra (UK Petra) bagi tujuan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan membincangkan peluang kerjasama akademik yang lebih meluas. Delegasi telah mengadakan beberapa sesi perbincangan yang produktif melibatkan pertukaran pelajar dan kakitangan akademik antara kedua-dua universiti. Turut dibincangkan adalah hal berkaitan pembangunan akademik kedua-dua institusi, dan kerjasama dalam penyelidikan. Delegasi juga telah mengadakan lawatan penanda aras ke beberapa fasiliti utama yang terdapat di UK Petra.

Lawatan ini telah mencapai matlamat utama iaitu mengeratkan hubungan akademik dan industri bersama rakan strategik UiTM Perak di Indonesia. Pelbagai peluang kerjasama telah dikenal pasti dan akan disusuli dengan pengisian yang berimpak tinggi untuk memastikan manfaat bersama untuk jangka masa yang panjang. Pihak delegasi UiTM Perak amat berterima kasih atas sambutan mesra dan komitmen tinggi yang telah ditunjukkan oleh semua rakan kolaborasi yang terlibat di Jakarta, Bandung dan Surabaya, Indonesia.