SERI ISKANDAR, 15 Mei 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar telah menjadi hos bagi Bengkel Kerja Pemantapan Kertas 2 Seni Visual (970/2) Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Peringkat Negeri Perak Tahun 2024. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama UiTM Perak.
Bengkel tersebut telah berlangsung di Dewan Ibnu Al-Khatib (DIAK), UiTM Cawangan Perak pada 15 Mei 2024, dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang. Program ini melibatkan seramai 97 orang pelajar STPM bersama 4 orang guru pengiring.
Tujuan bengkel ini adalah untuk menambah pengetahuan pelajar mengenai teori dan praktik dalam teknik-teknik penghasilan lukisan yang baik, bermula dari asas lukisan seperti latihan psikomotor, lukisan kontur, lukisan tonal, lukisan pemerhatian, lukisan perkembangan idea untuk rekaan dan rekaan inovasi produk. Ia bertujuan membantu pelajar dalam persediaan menghadapi peperiksaan STPM.
Sebanyak 10 orang pensyarah budaya visual dari UiTM Perak telah terlibat sebagai pakar rujuk dan penceramah jemputan dalam program ini, yang diketuai oleh Dr. Khayril Anwar Khairudin.
Bengkel ini diharapkan dapat berlangsung secara berterusan pada masa akan datang, bagi mengeratkan lagi jalinan kerjasama akademik antara UiTM Perak dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perak dalam meningkatkan kemahiran pelajar STPM dan SPM di negeri Perak.