UiTM Perak Kolaborasi dengan Arkitek Berdaftar dalam Pengajaran Ukur Bahan Secara Atas Talian

SERI ISKANDAR, 10 Disember 2024 – Pengajaran dan pembelajaran kolaboratif secara atas talian melalui platform Google Meet telah diadakan bagi kod subjek QSA101 Measurement of Construction Works I untuk pelajar semester 1 Program Ukur Bahan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar.

Program ini melibatkan kolaborasi bersama Arkitek Berdaftar di bawah Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) dari Architectural Consultancy Practice (ACP) iaitu Nu’man Architect. Program yang bermula pada jam 2 petang dan berakhir pada jam 4 petang ini dihadiri oleh 40 pelajar tahun pertama Diploma Ukur Bahan.

Pengajaran kolaboratif ini menggunakan Model 2, iaitu dari individu yang berkepakaran dalam bidang Senibina, dengan fokus pada kaedah penyampaian. Webinar kolaborasi ini bertajuk Architectural Drawings: Specification, Details and Element, From Sketches to Reality, dengan fokus pada penyediaan lukisan Arkitek.

Penyampaian dimulakan dengan pengenalan kepada tanggungjawab Arkitek dalam pembentukan lukisan yang akan dinilai oleh pihak klien. Setiap lukisan dihasilkan menerusi perincian yang diberikan oleh klien mengikut undang-undang, elemen teknologi, dan ke arah sustainability. Pengenalan tanggungjawab Arkitek kepada pelajar Diploma Ukur Bahan adalah penting kerana terdapat kerjasama dan kebergantungan tugas antara Arkitek dan Jurukur Bahan. Topik pengenalan ini adalah sebahagian daripada CLO2 di dalam QSA101, iaitu mengukur kuantiti berdasarkan lukisan menggunakan alat pengukuran untuk elemen Substruktur dan Dinding Dalaman & Luaran, dengan merujuk kepada Malaysian Standard Methods of Measurement terkini.

Program ini mencapai sinergi kepakaran, pengoptimuman sumber dari segi masa, kos, dan perkongsian ilmu, serta meningkatkan kefahaman para pelajar terhadap subjek yang dipelajari.