UiTM Perak dan Majlis Perbandaran Manjung Perkukuh Kerjasama melalui Sesi Pengajaran Kolaboratif

Perak, 20 Jan – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak mengadakan sesi pengajaran kolaboratif bersama Majlis Perbandaran Manjung, memberi pendedahan praktikal kepada 58 pelajar Diploma Teknologi Binaan.

Program yang dijalankan di Bangunan Pembinaan dan Pengurusan Hartanah itu dikendalikan oleh Dr Wan Nordiana Wan Ali dan Dr Noor Rizallinda Ishak, dengan kehadiran TPr. Abdul Rahim Syah bin Khalib, Pengarah Unit Pusat Setempat (OSC) Majlis Perbandaran Manjung sebagai panel jemputan.

Sesi interaktif itu membincangkan proses kelulusan pembangunan di Malaysia, bermula dari permohonan Kebenaran Merancang hingga ke Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Melalui sesi ini, pelajar bukan sahaja memahami teori tetapi juga mengenali cabaran sebenar industri pembinaan,” kata Dr Wan Nordiana.

Pelajar berpeluang bertanya soalan berkaitan isu semasa industri, termasuk cabaran kelulusan pembangunan dan kepentingan kolaborasi antara pemaju dan pihak berkuasa.

Inisiatif ini menggambarkan komitmen UiTM dalam melahirkan graduan yang relevan dengan keperluan industri, sekaligus mengukuhkan hubungan strategik dengan pihak berkepentingan tempatan.

Seorang pelajar yang hadir berkata, “Sesi ini membantu kami memahami bagaimana teori dipraktikkan, dan yakin memberi kelebihan dalam kerjaya masa depan.”

 

Penulis bersama : Dr Wan Nordiana Wan Ali, Dr Noor Rizallinda Ishak, Ts Azira Ibrahim, Ts Dr Ida Nianti Mohd Zin