UiTM Perak Berkolaborasi dengan UniMAP dalam Pengajaran Teknologi Pembinaan Secara Virtual

SERI ISKANDAR, 25 November 2024 – Jabatan Ukur Bahan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar telah mengadakan program pengajaran dan pembelajaran kolaboratif secara virtual bagi kod subjek QSA202 Construction Technology III.

Program yang menyasarkan kolaborasi bersama Pensyarah Kanan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ini berlangsung dari jam 8 pagi hingga 11 pagi dan dihadiri oleh 50 pelajar Diploma Ukur Bahan. Pengajaran kolaboratif ini menggunakan Model 2, iaitu dengan pensyarah dari universiti tempatan, dengan fokus pada kaedah penyampaian. Penyampaian yang diajar dalam pengajaran kolaboratif ini berfokus pada asas struktur bangunan; Reinforced Concrete Frame dan pengiraan Structural Analysis bagi struktur Column, Beam dan Floor Slab.

Program ini telah mencapai sinergi kepakaran, hubungan mentor-mentee antara pensyarah, pengoptimuman sumber dari segi masa dan kos, serta perkongsian keperluan fasiliti. Program ini telah berlangsung selama dua semester berturut-turut pada semester Mac-Ogos 2024 dan diteruskan pada Oktober 2024 – Februari 2025. Untuk jangka masa panjang, silibus ini akan didaftarkan ke dalam Micro Credentials (MC) bagi memberi impak dan rujukan kepada pelajar dalam pembelajaran. Kebaikan pengajaran kolaboratif ini juga merangkumi kerjasama antara universiti tempatan, memberi peluang kepada pelajar daripada kampus atau universiti yang berbeza melalui pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna. Di samping itu, ia memberi peluang kepada pensyarah untuk berinovasi dalam pengajaran dan pembelajaran.