JENGKA, 13 Disember 2024 – Satu lawatan telah diadakan ke Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR), Jengka bersama Persatuan Alumni Perladangan Universiti Teknologi MARA (PAPU), Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), dan Pendang Nurseri Sdn. Bhd. FPA diwakili oleh Dr. Mohd Khairi Che Lah selaku Ketua Pusat Pengajian dan seorang pensyarah, manakala PAPU diwakili oleh Tuan Anuar Bin Ahmad selaku Pengerusi, serta 2 orang ahli jawatankuasa PAPU, serta beberapa orang wakil dari FELDA dan Pendang Nurseri.
Delegasi lawatan telah di sambut oleh Tuan Zaharuddin Mohd Said selaku Ketua PPPTR, dan Dr. Mohd Azinuddin Ketua Unit Pembiak Bakaan Tumbuhan PPPTR serta beberapa pengurusan tertinggi dari PPPTR. Lawatan ini telah dirancang dan dianjurkan oleh PAPU bagi mengeratkan lagi hubungan antara FPA UiTM Pahang, PAPU, FELDA, Pendang Nurseri dan pihak PPPTR.
Para delegasi telah dibawa untuk melawat pusat semaian dan pemilihan biji benih, nurseri anak pokok sawit, dan plot tanaman Nangka Madu PPPTR. Pelbagai perkongsian teknologi terkini dari PPPTR telah dikongsikan bersama para pelawat mengenai perkembangan teknologi pertanian dan kepakaran mereka dalam bidang pertanian. Selain itu, lawatan ini juga membuka ruang perbincangan dan kerjasama antara FPA UiTM Pahang, PAPU dan juga pihak industri bagi pembangunan pelajar dan penyelidikan bersama.
Lawatan ini memberi impak positif kepada pihak fakulti dan PAPU untuk terus berkerjasama dengan pihak industri bagi membantu graduan dari FPA untuk proses pembangunan pelajar, latihan industri pelajar, serta peluang kerjasama penyelidikan bersama antara semua pihak bagi tujuan kemajuan dalam sektor pertanian.
Penulis: Dr Mohd Khairi Bin Che Lah dan Muhammad Esyam Bin Adip