JENGKA, 18 Dis – Pelajar Diploma Pengurusan Pejabat dan Teknologi, UiTM Cawangan Pahang, menganjurkan program “School Attack: Shaping Tomorrow’s Leaders” di SMK Jengka Pusat 2, memberi pendedahan kepimpinan kepada 75 murid.
Program yang dijalankan bagi memenuhi keperluan kursus Penganjuran Acara (OBM310) itu bertujuan membangun kemahiran kepimpinan, komunikasi, dan kerjasama dalam kalangan pelajar sekolah.
Encik Mohd Azizul bin Sulaiman, Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, merasmikan program tersebut yang melibatkan murid Tingkatan 2 hingga Tingkatan 4, termasuk pengawas sekolah dan pembimbing rakan sebaya.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Encik Mohd Faizal Azrul Azwan Muhamed, memberi ceramah bertajuk “Team Empowerment” pada sesi pertama program.
Aktiviti Unity Challenge yang merangkumi lima checkpoint seperti Flash Card, Pencil Drop, Fall Ball, Blind Walk dan Ball-Bridge turut dilaksanakan untuk menguji kemahiran peserta.
Program ini berjaya mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 iaitu Pendidikan Berkualiti, selaras dengan galakan Pengurusan Tertinggi UiTM.
Pengetua SMK Jengka Pusat 2, Encik Mohd Idris bin Chamingan, mengucapkan penghargaan kepada pihak penganjur atas inisiatif membangunkan potensi pelajar.
Pihak penganjur yakin program ini memberi impak positif dalam melahirkan generasi pelajar yang lebih berkeyakinan dan bersemangat.
Penulis bersama: Hazlin Hasan, Nurul Atiqah Mohamad Zain