KOTA, 8 Januari 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau telah melancarkan program literasi digital inovatif bertajuk “GADGET AVENGERS 1” di Sekolah Kebangsaan Sawah Raja, sebuah sekolah kurang murid (SKM) di Kota, Negeri Sembilan. Program ini merupakan inisiatif pelajar Kursus Asas Fasilitator UiTM dan telah disertai oleh 36 orang murid dari Tahun 1 hingga Tahun 5.
Program “GADGET AVENGERS 1” bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kemahiran pelajar dalam penggunaan teknologi digital secara bertanggungjawab, menilai maklumat dalam talian secara kritis, serta mendidik mereka tentang keselamatan siber dan perlindungan data peribadi. Selain itu, program ini juga menggalakkan penggunaan teknologi digital untuk pembelajaran dan kreativiti.
Encik Zakaria Md Saleh, Guru Besar SK Sawah Raja, menyatakan bahawa program ini sejajar dengan Teras Ke-7 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu peningkatan keupayaan pendidikan digital di sekolah. Beliau berkongsi, “Program ini sangat bermakna bagi kami di SK Sawah Raja. Sebagai sekolah kurang murid di kawasan luar bandar, kami tidak mahu tertinggal dalam arus teknologi. Oleh itu, dengan adanya inisiatif seperti ini, murid-murid kami kini berpeluang untuk belajar menggunakan teknologi digital dengan lebih bijak dan selamat“.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Encik Mohd Zulhilmi Mohd Yunus, menyuarakan rasa bangganya terhadap usaha pelajar UiTM dalam menyantuni masyarakat sekeliling.
“Saya amat berbangga dengan komitmen pelajar-pelajar kita dalam menjayakan program ini. Mereka bukan sahaja belajar, tetapi juga berkongsi ilmu dengan komuniti. Ini adalah contoh terbaik bagaimana universiti boleh memberi impak positif kepada masyarakat,” ujar beliau.
Ketua Projek Program GADGET AVENGER, Siti NurHazwani Jaafar, melahirkan rasa teruja kerana program yang dirancang telah berjalan dengan lancar. “Kami sangat gembira melihat bagaimana murid-murid di sini begitu bersemangat untuk belajar tentang teknologi digital sehinggakan ada yang memberitahu saya, ‘Kakak, saya tak sangka belajar tentang internet boleh jadi seronok macam ni!’ Ini memberi kami motivasi untuk terus berusaha dalam program-program akan datang,” kata Siti NurHazwani.
Antara aktiviti yang dijalankan semasa program ini termasuklah ceramah “Meneroka Alam Digital” oleh Puan Nurul Nisha Mohd Shah, penasihat program. Puan Nurul Nisha menekankan, “Kita perlu mendidik generasi muda kita tentang penggunaan internet yang selamat dan bertanggungjawab. Ini bukan sahaja melindungi mereka, tetapi juga membolehkan mereka memanfaatkan teknologi digital sepenuhnya untuk pembelajaran dan perkembangan diri.”
Program ini juga merangkumi aktiviti permainan dalam kumpulan dan sesi pembentangan yang bertujuan membangunkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi murid-murid. Salah seorang peserta, Husaini dari Tahun 3, berkongsi pengalamannya, “Saya seronok sangat dapat belajar cara guna internet dengan selamat.”
Sempena program ini, pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan pihak SK Sawah Raja telah menandatangani sijil penghargaan jalinan kerjasama. Encik Zakaria menyambut baik kerjasama ini, “Kami berharap ini adalah permulaan kepada lebih banyak program bermanfaat untuk anak-anak kami di sini.”
Program “GADGET AVENGERS 1” ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam mempersiapkan pelajar menghadapi cabaran era digital, mengurangkan risiko ancaman siber, meningkatkan kecekapan penggunaan teknologi untuk pembelajaran, dan merapatkan jurang digital antara pelajar bandar dan luar bandar.
Encik Mohd Zulhilmi menutup majlis dengan berkata, “UiTM komited untuk memastikan pendidikan digital dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar. Kami berharap usaha ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif serupa pada masa hadapan, seterusnya memperkasakan generasi muda Malaysia dalam era digital.”
Disediakan Oleh,
Nurul Nisha Binti Mohd Shah (Pensyarah, Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media)
UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau