UiTM Meterai MoU Bersama Sekolah Kebangsaan Puncak Alam, Tingkat Nilai Tambah Keperluan Pendidikan Semasa

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Sekolah Kebangsaan Puncak Alam (SKPA) telah berlangsung dalam satu majlis ringkas pada 9 Disember 2021. Perjanjian ini bertujuan mengadakan kerjasama dan meneroka peluang untuk membangun, menyokong dan memperkaya pembangunan pendidikan dimensi baru. UiTM meneruskan usaha memberi nilai tambah kepada perkembangan dan keperluan pendidikan tinggi semasa menerusi kerjasama pintar dengan pihak sekolah untuk membantu dan menyokong satu sama lain terutama melibatkan projek-projek yang saling memberi manfaat kepada kedua pihak termasuk komuniti sekitar.

Perjanjian ini telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Dr. Ahmad Sazali Hamzah, Rektor Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor (UCS) dan Tuan Norhamidi Bin Mohd Ansor, Guru Besar SK Puncak Alam. Majlis yang diadakan di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam ini telah disaksikan oleh YBhg. Professor Madya Sr Dr Rosmadi Ghazali, Timbalan Rektor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UCS dan Tuan Hj. Mohd Azuan Bin Mohd Nawawi, Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor.

YBhg. Prof Sazali berkata, MoU ini membuka ruang kepada pakar-pakar dalam pelbagai bidang di UiTM berkongsi ilmu kepada para guru dan pelajar bagi terus merancakkan momentum pengajaran di kedua institusi. Penyelidikan bersama juga harus dijalankan secara berterusan bagi menyelesaikan isu berkaitan pendidikan semasa terutamanya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara digital.