UiTM Meterai Kerjasama Dengan 64 Institusi Pendidikan Farmasi Indonesia

PADANG, SUMATERA BARAT INDONESIA, 16 JUL 2022– Universiti Teknologi MARA dan 64 buah Institusi di bawah Asosiasi Pendidikan Diploma Farmasi Indonesia (APDFI) hari ini, telah menandatangani Memorandum Persefahaman bersama di satu majlis yang telah diadakan di Hotel Truntum, Padang, Sumatera Barat, Indonesia. Majlis menandatangani MoU bagi kedua belah pihak, diwakili oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Shariza Sahudin, mewakili Datuk Naib Canselor UiTM disaksikan oleh YBrs. Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik) Menjalankan Tugas-Tugas Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang. Kesemua 64 buah institusi di bawah Asosiasi Pendidikan Diploma Farmasi Indonesia di seluruh nusantara negara Indonesia diwakili oleh Pengurusan Tertinggi institusi masing-masing.

Berucap pada majlis menandatangani pemeteraian MoU ini, Apoteker Doktor Randa Ibu Yusmaniar, Pengerusi Asosiasi Pendidikan Diploma Farmasi Indonesia berkata, “APFDI bertanggungjawab dalam memastikan setiap ahli asosiasi ini mendapat manfaat jangka pendek dan panjang dalam persefahaman ini, selain dapat memperkukuhkan jaringan kedua-buah buah negara dalam bidang Farmasi. Oleh itu, UiTM satu-satunya universiti awam di Malaysia yang menawarkan program Diploma Farmasi dapat menzahirkan wadah kami dalam kelestarian kualiti Pendidikan Diploma Farmasi dan Diploma Analisa Farmasi dan Makanan di Indonesia. Kerjasama ini dilihat dapat membangunkan Pendidikan Farmasi bagi kedua buah negara bersaudara ini”.

Dekan Fakulti Farmasi Profesor Madya Dr. Shariza dalam ucapannya mewakili Naib Canselor UiTM berkata, “Ketampakkan program Farmasi yang global dan komprehensif oleh UiTM dan APDFI dapat membantu dalam pembangunan modal insan yang berkualiti bagi pelajar dan stafnya di samping memenuhi pasaran kerja yang seimbang.

Tambahnya lagi, “fasa pertama kerjasama ini dengan keterlibatan 64 daripada lebih 130 buah institusi kesemuanya di bawah APDFI akan melonjak dan mengubah landskap bidang Farmasi Malaysia Indonesia dengan lebih berdaya saing”.

Memorandum Persefahaman ini diterajui oleh barisan Pengajar dari Fakulti Farmasi, UiTM Cawangan Pulau Pinang diketuai oleh Dr. Mohd Nadzri Mohd Najib, Dr Siti Nur Fadzilah Muhsain, Dr Mohd Izani Othman dan Dr Suraya Sulaiman daripada UiTM dan Apoteker Ibu Netti Kemala Sari S.Si. M.Farm., Ketua Pelaksa Rapat Kerja Nasional (Rakernas) dari Indonesia. Kerjasama strategik ini berkuatkuasa selama 5 tahun dan memfokuskan kepada inisiatif yang telah dipersetujui. Dengan termeterainya Memorandum Persefahaman ini diharapkan agar ianya berupaya meningkatkan kepakaran staf dan memberikan manfaat besar kepada pelajar disamping melebarkan jaringan kerjasama di antara negara.